|
Dalam membesarkan anak-anak
perkembangan EQ (emosional qualities) sama pentingnya dengan
perkembangan IQ. Kalau IQ merujuk kepada kepintaran anak-anak,
EQ pula merujuk kepada kebolehan anak-anak menangani konflik
emosi mereka. Tahap IQ seseorang boleh diukur melalui
ujian-ujian tertentu tetapi EQ sebaliknya tidak mampu diukur.
Sehingga sekarang takrif yang tepat tentang EQ masih dicari.
Salovey dan Mayer mendefininisikan EQ sebagai, suatu subset dari
kecerdasan sosial yang merujuk kepada kebolehan seseorang
meneliti emosi atau perasaan dirinya atau orang lain, membezakan
emosi ini dan menggunakannya sebagai panduan membentuk suatu
cara fikir dan tindakan.
Dalam
meniti kecemerlangan hidup, ramai pakar percaya bahawa 80%
bergantung kepada kekuatan EQ dan hanya 20% sahaja berdasarkan
ketinggian IQ. Para pekerja pada awalnya mungkin diambil
bekerja kerana kebolehan IQ mereka tetapi hanya yang mempunyai
EQ yang tinggi sahaja kelak yang cepat dinaikkan pangkat. EQ
lebih merujuk kepada ciri-ciri diri seperti:
- Empati.
- Meluahkan dan memahami
perasaan.
- Mengawal perasaan marah.
- Berdikari.
- Kebolehan menyesuaikan
diri dengan persekitaran.
- Kebolehan menyelesaikan
masalah pergaulan.
- Persistensi iaitu sikap
tidak mudah mengaku kalah.
- Mudah mesra dan ramah.
- Baik budi.
- Pandai menghormati diri
sendiri dan orang lain.
- Dan sebagainya.
Secara ringkasnya EQ lebih
condong kepada sikap, tingkahlaku dan peribadi seseorang
individu.
Kajian menunjukkan bahawa
terdapat tiga pendekatan utama yang sering diambil oleh ibu bapa
dalam mendidik anak-anak iaitu sama ada secara keras, lembut
atau sederhana. Rasulullah s.a.w sendiri menyarankan agar kita
mengambil jalan tengah atau bersederhana dalam mendidik
anak-anak. Apa yang Rasulullah s.a.w sarankan ini kini telah
dibuktikan benar oleh masyarakat barat yang membuat kajian
tentang pendidikan EQ ini. Ada ketikanya kita perlu keras
dengan anak-anak dan ada ketikanya pula kita perlu lebih
memahami dan bertolak ansur. Dalam artikel kali ini dan
siri-siri seterusnya, saya akan bincangkan bila ibu bapa perlu
berkeras dan bagaimana mendisiplinkan anak. Saya juga akan
membincangkan bagaimana untuk ibu bapa memahami perasaan anak.
Bagaimana untuk mengambil peluang mendekati anak dan mendapatkan
kepercayaan mereka apabila mereka dalam keadaan tertekan,
bermasalah, runsing dan sebagainya. Apabila ibu bapa bersikap
empati dan membantu anak-anak memahami dan mengatasi setiap
perasaan negatif mereka (seperti marah, sedih, cemburu,
memberontak, takut, malu dan sebagainya), ibu bapa sebenarnya
telah membina kepercayaan dan kasih sayang dalam diri anak-anak
terhadap mereka. Kepercayaan dan rasa kasih yang berputik ini
perlu disuburkan dan dibajai kerana ia sebagai penyebab untuk
anak mendengar nasihat dan menghormati kita sebagai ibu dan
bapa.
Ibu bapa perlu faham,
keibubapaan yang baik memerlukan lebih daripada pendekatan
intelek. Kita memerlukan pendekatan emosi. Sebagai manusia,
anak-anak (malah kita sendiri) membuat satu-satu keputusan itu
berdasarkan alasan-alasan emosi. Hanya sedikit sahaja boleh
disandarkan atas alasan logik. Misalnya, kita membeli kereta
kerana memerlukan kenderaan untuk bergerak sama ada dihari panas
atau hujan. Kalau begitu kenapa tidak beli kereta yang ala
kadar sahaja. Kenapa mereka yang mampu akan membeli kereta yang
lebih mahal, lebih besar dan berprestij? Ini disebabkan kita
mempunyai alasan emosi yang jauh lebih besar dari alasan lojik.
Sebagai manusia, anak-anak juga seperti kita. Mereka akan mudah
membuat keputusan atas alasan emosi. Sebab itu ada pepatah yang
mengatakan "cinta itu buta". Sebab apabila seseorang dibawah
pengaruh emosi maka daya inteleknya akan kurang dimanfaatkan.
Atas sandaran inilah maka ibu bapa perlu belajar bagaimana untuk
menggunakan pengaruh emosi ini bagi membentuk, membimbing dan
mendidik anak-anak mereka.
Keibubapaan yang menggunakan
pendekatan emosi biasanya melibatkan lima langkah utama iaitu:
- peka terhadap emosi anak;
- menyedari yang perubahan
emosi anak sebagai peluang untuk merapatkan hubungan dan
mendidik;
- mendengar secara empati,
memahami dan mengesahkan apa yang sedang anak alami;
- membantu anak-anak
mengenali dan memahami emosi mereka sendiri;
- nyatakan dengan jelas
batas atau tahap sesuatu emosi sambil mencari jalan
menyelesaikan masalah yang timbul.
Anak-anak yang tinggi EQ akan
menghargai setiap perasaan negatif yang terbit dari diri. Perlu
diingat, anak-anak yang membesar atas bimbingan sebegini bukan
bermakna mereka tidak punya perasaan lagi. Anak-anak masih
tetap akan rasa marah, sedih, malu, takut dan sebagainya tetapi
mereka akan punya kemahiran untuk menenangkan diri sendiri dan
bangkit kembali setelah sesuatu kegagalan atau desakan. Malah
mereka akan lebih baik lagi selepas itu. Kajian menunjukkan
bahawa anak-anak yang dibesarkan melalui pendekatan bijak emosi
ini lebih mampu bertahan dan meneruskan kehidupan meskipun
berlaku penceraian ibu bapa. Mereka lebih realistik dan mampu
menerima kenyataan. Sekiranya anak-anak diiringi pula dengan
ajaran agama yang mantap maka pastinya mereka bakal menjadi
orang yang cemerlang satu ketika nanti.
Ibu bapa juga perlu faham,
pendekatan bijak emosi bukanlah bermakna anak-anak tidak perlu
didisiplinkan lagi. Sebaliknya apabila ibu bapa dan anak saling
percaya mempercayai maka bermakna telah terbentuk satu pengaruh
yang kuat. Ketika ini anda boleh gunakan pendekatan keras,
apabila kekerasan diperlukan. Apabila anak anda melanggar
peraturan, bersikap kasar dan sebagainya anda perlu menegurnya.
Anda letakkan batas-batas tertentu tanpa ragu-ragu. Anda tidak
bimbang untuk menyatakan akan kekecewaan aanda dan anda tahu
yang anak anda boleh lakukan lebih baik. Disebabkan anda
sentiasa gunakan pendekatan bijak emosi maka sekali anda
bertegas, ketegasan dan kata-kata anda akan memberi kesan.
Anak-anak akan memahami kenapa anda berkelakuan demikian malah
lebih menghormati anda. Begitu juga anda boleh menjadi cukup
penyayang apabila pendekatan memujuk secara lembut pula
diperlukan. Dengan pendekatan bijak emosi ini anak-anak
Pengalamanlah yang akan
mengajar anda pendekatan mana yang lebih sesuai dalam
keadaan-keadaan tertentu. Beberapa perkara dibawah boleh
dijadikan panduan:
- Sekiranya anak anda
dibesarkan dalam keadaan anda selalu marah atau membebel,
maka marah anda dan bebelan anda sudah hilang makna kepada
mereka.
- Apabila anak anda mengaku
secara jujur akan kesalahan dan kesilapan mereka, maka anda
tidak sepatutnya marah. Sebaliknya memahami mereka.
Sekiranya perbuatan mereka itu salah, maka perbetulkan
dengan cara yang baik dan penuh kasih sayang.
- Sekiranya anak anda
melakukan kesalahan buat kali pertama, maka anda tidak boleh
marah. Sebaliknya gunakan pendekatan bijak emosi. Tetapi
kalau kesalahan yang sama berulang-ulang, ketika itu anda
perlu bertegas dan gunakan kekerasan (bukan deraan).
- Sekiranya kesalahan yang
dilakukan berkaitan dengan pembentukan akhlak dan
peribadinya, seperti mencuri, menipu, dan sebagainya maka
gunakan ketegasan untuk mendisiplinkan anak.
- Jangan biarkan sampai anak
anda boleh menjangka apa reaksi atau tindakbalas anda
terhadap kesalahan atau masalah mereka. Mereka tidak pasti
sama ada anda akan marah, diamkan atau menegur dengan baik.
- Jangan marah setiap kali
anak anda menceritakan masalah mereka, sebab sekiranya anda
tidak melayan mereka dengan baik mereka akan menyangka yang
anda bencikan masalah. Ini membuatkan mereka tidak mahu
berbincang dengan anda dilain masa.
- Puji secara ikhlas dan
suburkan setiap perkara baik yang ditunjukkan oleh anak
anda.
Dalam beberapa siri artikel
selepas ini akan saya bincangkan dengan lebih terperinci
langkah-langkah keibubapaan menggunakan pendekatan bijak emosi
bagi melahirkan anak-anak yang tinggi EQ.
Sekian.
|