Mendidik anak-anak merupakan suatu
perkara yang sering memeningkan kepala ramai ibu bapa. Tidak
ada seorang ibu pun yang mahukan anak-anak mereka membesar
sebagai orang gagal dan bermasalah. Sebagai ibu bapa kita perlu
ingat bahawa anak-anak adalah amanah Allah s.w.t. kepada kita
untuk dijaga dan dibentuk sebaik-baiknya. Mereka lahir seperti
kain yang putih bersih tanpa sempurna tanpa sebarang cacat
celanya. Kitalah yang mencorakkan dan mewarnakan kain putih itu
dengan corak dan warna yang tertentu. Sebahagian besarnya
mengikut acuan yang telah kita sediakan untuk mereka.
Dalam membesarkan anak-anak
kita tidak menyedari pelbagai kesilapan telah dilakukan tanpa
kesedaran kita. Kesilapan ini berlaku kerana kurangnya
pengetahuan tentang aspek keibubapaan. Dalam mendidik anak-anak
perlu diingatkan bahawa didikan bukan melalui paksaan tetapi
tauladan. Anak-anak lebih percaya apa yang dilihat dari apa
yang didengar. Kalau kita suruh anak-anak menguruskan masa
dengan baik sedangkan kita sendiri sentiasa tidak menepati masa
serta sering bertangguh, maka mereka lebih terikut-ikut kepada
apa yang mereka lihat kita lakukan. Maka wajarlah dalam
mendidik anak-anak, kita dalam masa yang sama perlu mendidik
diri kita juga.
Kesilapan yang sering dilakukan
dalam mendidik anak-anak bolehlah dibincangkan seperti dibawah:
Membanding-bandingkan. Ibu bapa seringkali
membanding-bandingkan sama ada kebolehan atau kelemahan anak
dengan orang lain. Ada ketikanya perbandingan ini dibuat antara
adik-beradik dan ada ketikanya dengan orang lain seperti anak
jiran, saudara, sepupu, kawan atau sesiapa sahaja. Memanglah
tujuan perbandingan ini dibuat ialah untuk mendorong atau
memberi semangat kepada anak. Tetapi kerap kali anak-anak akan
salah tafsir akan tujuan ibu bapa berbuat demikian. Sekiranya
perbandingan dibuat antara adik beradik, maka kita telah
menyuburkan sifat cemburu dan iri hati dalam diri anak.
Sekiranya perbandingan dibuat dengan orang lain, anak akan
merasa rendah diri dan hilang kekuatan untuk bersaing.
Perbandingan hanya boleh dibuat
ketika tiada tekanan emosi. Maknanya ketika perbincangan berlaku
secara terbuka. Bukan ketika anak sedang dimarahi. Kita boleh
jadikan orang lain sebagai contoh untuk ditauladani tanpa
membandingkannya dengan anak kita. Barulah mereka boleh
menerimanya. Cuba lihat contoh perbualan dibawah:
Contoh 1:
"Apa nak jadi kau ni... lihat si Ali tu,
tiap kali petang pasti dia balik awal. Lepas tu terus mandi,
solat dan belajar. Tak macam engkau ni, entah apa nak jadi
nanti".
Contoh di atas ternyata ibu
bapa membuat perbandingan langsung antara anak dengan si Ali.
Anak kita cukup tidak menggemarinya.
Contoh 2:
"Orang berjaya ialah orang yang sentiasa
menepati waktu. Waktu main, mainlah sepuas-puasnya tapi bila
tiba waktu belajar, waktu solat dan sebagainya perlu
diseimbangkan pula. Kalau kita balik ke rumah awal sempatlah
untuk solat dan mandi sebelum belajar. Badan pun tak penat,
betul kan?"
Lihat, contoh diatas tiada
langsung unsur perbandingan. Maksudnya tetap sama dengan contoh
yang pertama, malah diselitkan pula dengan alasan yang munasabah
disamping meminta anak berfikir dengan menjuruskan perkataan...
betul kan?
Jadi cubalah cari jalan agar
kita tidak lagi membuat perbandingan ketika memarahi anak.
Seperti yang telah dikatakan awal-awal tadi, contoh kejayaan
orang lain boleh diceritakan sewaktu tiadanya tekanan atau
desakan emosi dalam diri anak.
Merendahkan kebolehan anak. Kita sering kali tanpa
sedar merendahkan kebolehan anak secara langsung. Kerap kali
ibu bapa yang resah tentang masalah anak akan meluahkan
keluhannya kepada orang lain dihadapan anak-anak. Ada ketikanya
apabila bertemu jiran, kita beritahu mereka akan kelemahan anak
kita. "Anak saya ni Cik Jah... entah apa
lagi saya nak cakap.. malas betul nak belajar". Itu
salah satu contoh ungkapan. Ungkapan ini pula dibuat dengan
kehadiran anak, maka anak percaya apa yang didengarnya. Secara
tidak langsung si ibu telah suburkan lagi sikap negatif dalam
diri anak itu.
Ada
ketikanya pula ibu bapa merendahkan kebolehan diri anak-anak
secara langsung apabila marah. "Kau ni
besar nanti apa nak jadi? Dah lah malas, degil pulak tu..".
Kata-kata begini menghiris perasaan anak-anak dan tentunya bila
sentiasa diulang-ulang akan membuatkan mereka percaya itulah
sahaja kemampuan diri mereka. Ibu bapa perlu ingat setiap patah
perkataan yang kita ucapkan atas diri anak-anak merupakan suatu
doa. Janganlah nanti kata-kata yang tidak baik pula dimakbulkan
Allah s.w.t. OLeh itu, carilah kebaikan dalam diri anak
walaupun kecil. Subur-suburkanlah kebaikan itu. Mendidik
anak-anak merupakan suatu proses yang berterusan. Jangan
menyangka untuk melihat perubahan yang mendadak dalam diri
anak. Sebagai pendidik, ibu bapa memerlukan kesabaran yang
tinggi.
Memarahi anak tidak pada tempatnya. Ibu bapa
seringkali memilih waktu yang salah memarahi anak-anak. Ramai
ibu bapa dalam sessi kaunseling saya mengadu bahawa anak-anak
mereka tidak suka berterus terang atau berbincang masalah dengan
mereka. Sebenarnya kenyataan sedemikian agak kurang tepat.
Anak-anak tidak mahu berbincang atau berterus terang sebab ibu
bapa sendiri tanpa disedari telah menutup pintu perbincangan
tersebut. Waktu anak masih kecil, sama ada di alam tadika atau
sekolah rendah, mereka pernah mengadu hal kepada ibu bapa.
Mereka mengadu segala-galanya kerana ibu bapalah yang dianggap
sebagai pelindung kita. Misalnya, anak kita mungkin pulang dari
sekolah dan mengadu yang guru telah memarahinya. Kita pasti
bertanya kenapa guru marah. Anak memberitahu yang dia telah
dimarahi guru kerana mengejek, mengusik, memukul atau mengambil
barang kawan.
Apa tindak balas kita? Ramai
ibu bapa apabila mengetahui bahawa guru memarahi anak disebabkan
kesilapan anak itu sendiri akan segera marah anak itu sekali
lagi. Apa pula perasaan anak? Tindakan mengadu hal tadi
menyebabkan emosinya dua kali sakit. Apabila perkara sebegini
berlaku berulang-ulang kali maka anak tidak akan berterus terang
dan berbincang lagi. Sebab mereka tahu tindakan berterus terang
adalah suatu tindakan yang membawa padah. Sikap inilah kelak
yang terbawa-bawa sehingga anak membesar.
Oleh itu, jangan memarahi anak
apabila mereka berterus terang. Jangan pula menyebelahi
mereka. Jelaskan secara bijak bahawa perbuatan mereka
sememangnya salah dan tindakan guru itu wajar. Dengan cara
begini anak-anak akan belajar dari kesilapan. Hubungan ibu bapa
dan anak juga makin akrab.
|