Dalam artikel bahagian 1 yang
lepas, tiga kesilapan utama dalam mendidik anak-anak telah
dikupas iaitu:
- membanding-bandingkan
pencapaian anak-anak;
- merendahkan kebolehan
anak; dan
- memarahi anak tidak pada
tempatnya.
Dalam siri kali ini beberapa
kesilapan dalam mendidik anak-anak dikupas lagi iaitu:
- tidak menjadi pendengar
yang baik;
- tidak mewujudkan kemesraan
sebelum menegur atau memarahi;
- suka membebel dan
mengkritik;
- terlalu memanjakan anak;
- tidak menjadi 'role model'
yang baik.
Tidak
menjadi pendengar yang baik.
Ramai ibu bapa yang tidak merasa penting tentang aspek ini.
Menjadi pendengar yang
baik bukanlah sesuatu yang sukar dipraktikkan cuma ibu bapa
sahaja yang memperkecilkan peranan mereka sebagai pendengar.
Anak-anak apabila dewasa cuba merahsiakan banyak perkara
daripada pengetahuan ibu bapa disebabkan sewaktu kecilnya luahan
dan keluhan hati mereka tidak diberikan perhatian oleh kedua ibu
bapa. Cuba perhatikan kehidupan anda
dengan anak-anak. Adakah anda berhenti membaca akhbar apabila
anak anda datang dan bertanyakan sesuatu soalan? Adakah anda
sebagai ibu berhenti menggoreng ikan apabila tiba-tiba anak anda
ke dapur dan bertanya sesuatu? Jawapannya berkemungkinan ialah
tidakkk..... Anda menjawab pertanyaan anak sambil membaca
akhbar. Anda melayan anak sambil menggoreng ikan. Pada anda
apa yang ditanya itu tidak penting. Memang soalan yang
dikemukakan itu mungkin tidak penting tetapi cara anda
memberikan perhatian itu penting. Maka jangan salahkan
anak-anak kalau apabila dewasa mereka tidak mengganggap anda
sebagai penyelesai masalah yang boleh diharap.
Tidak
mewujudkan kemesraan. Ini juga satu masalah yang
sering kali timbul. Dapatkah anda bersabar sebelum memarahi
atau menegur kesilapan anak? Ramai ibu bapa yang tidak sabar.
Apa tindakan anda apabila guru sekolah memberitahu bahawa anak
anda ponteng sekolah? Pastinya anda terus memarahi anak tanpa
terlebih dahulu cuba memahami situasi atau konflik emosi dalam
diri anak itu. Kalau itu merupakan kesilapannya yang pertama,
maka anda perlu menasihatinya dengan baik. Ceritakan kepadanya
yang anda juga pernah jadi pelajar. Anda juga pernah ada
ketikanya rasa jemu belajar, tertekan dan sebagainya. Katakan
pada anak yang anda memahaminya. Tanya anak apa yang dia
fikirkan sebelum dia mengambil tindakan tersebut. Setelah anak
anda mula rasa selesa berbincang, jelaskan padanya betapa
tindakannya itu boleh mendatangkan malu dan merosakkan masa
depan.
Sekiranya anak terus ponteng,
sekali lagi anda duduk berbincang. Sekali lagi cuba fahami
perasaan dan fikirannya. Gunakan sentuhan (body contact) bagi
menambahkan kemesraan. Pegang bahunya ketika berkata-kata.
Lihat tepat ke wajahnya. Kalau anak anda masih kecil maka
melulutlah agar kedudukan mata anda berada separas dengan
matanya.
Setelah dia mula selesa, kali
ini anda ubah pendekatan. Anda katakan sukar untuk anda terima
yang dia masih melakukan kesilapan yang serupa. Anda perlu
memarahinya. Memarahinya bukan kerana anda mahu lepaskan geram
tetapi marahi anak kerana anda mahu mengajar dan membentuknya.
Terdapat perbezaan yang ketara antara dua keadaan marah itu.
Anak-anak akan lebih menghormati anda sekiranya mereka tidak
dapat menjangkakan apa tindakan anda atas kesalahan yang mereka
lakukan. Sebab kalau anda selalu marah maka anak akan katakan
pada dirinya, " Alah... bapa aku memang macam itu". Lihat!
walaupun anda benar-benar marah, kesannya tiada langsung pada
diri anak. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.
Suka
membebel dan mengkritik. Ada pula ibu bapa yang suka
membebel pada anak. Sikap ibu bapa yang sedemikian membuatkan
anak rasa hidup dirumah tidak selesa dan tiada ketenangan.
Sebab itu ramai diantara anak-anak lebih gemar menghabiskan masa
diluar. Mereka rasa diri mereka bebas dan merdeka. Cuba lihat
anak-anak kecil anda apabila ada tetamu berkunjung ke rumah.
Kenapa ketika itu perangainya cukup berbeza? Mereka berani
melakukan perkara-perkara yang anda larang. Mereka
melompat-lompat kusyen. Mereka buat ragam dan sebagainya.
Sebab mereka tahu bahawa diri mereka merdeka ketika itu. Mereka
juga mahu tunjukkan kebolehan dan kepandaian dihadapan tetamu.
Mereka tahu anda tidak akan membebel ketika itu. Ada ketikanya
bebelan anda sampai ketahap mengkritik anak-anak. Kritikan yang
tidak membina hanya akan membuatkan keyakinan diri anak-anak
anda luntur. Anda boleh mengkritik dengan syarat selepas itu
tunjukkan kepada anak apa yang mereka perlu lakukan. Ini
barulah dikatakan sebagai kritikan yang membina. Bukannya
kritikan mencari salah semata-mata.
Terlalu manjakan anak. Sekiranya anda terlalu
manjakan anak-anak maka mereka akan kehilangan sikap berdikari.
Mereka akan malas berusaha. Mereka mengharapkan orang lain
mengubah kehidupan mereka. Anda rosakkan masa depan anak-anak
sekiranya anda memanjakan mereka. Ingat sayangkan anak
tangan-tangankan bukan manja-manjakan. Memang benar anda hidup
dizaman susah. Anda terpaksa bekerja keras untuk mencapai tahap
kehidupan seperti hari ini. Anda terpaksa mengayuh basikal atau
berjalan kaki ke sekolah. Ada ketika jaraknya berbatu-batu.
Memang benar hari ini segala-galanya mudah diperolehi. Tetapi
itu semuanya bukanlah tiket untuk anda memenuhi setiap kehendak
dan permintaan anak anda. Tidak perlu terlalu sentimental dalam
mendidik anak-anak hinggakan anda tidak mahu mereka merasa susah
seperti anda dahulu. Kalau anda tidak mahu mereka susah hari
ini, mereka akan tetap hidup susah kemudiannya nanti kerana
tiada keyakinan diri dan tidak boleh berdikari.
Walau pun anda susahkan sedikit
kehidupan mereka, pasti tetap tidak akan sama seperti susahnya
anda sewaktu kecil dulu. Perhatikan mana-mana permintaan
anak-anak yang tidak wajar maka katakan sahaja yang anda tidak
akan penuhi. Ada ketikanya anda sengaja lambat memenuhinya
(dengan syarat anda tidak pernah berjanji pada anak). Ada
ketikanya permintaan anak dipenuhi pada ketika mereka tidak
sesekali menyangkanya. Sekiranya mereka capai kejayaan, ada
ketika anda belikan hadiah. Ada ketikanya pula anda berikan
sekadar puji-pujian sahaja. Ada ketikanya sekadar membawanya
makan diluar. Pelbagaikan cara anda memberikan mereka ganjaran,
dengan cara ini mereka akan kekal melakukan yang terbaik dalam
hidupnya.
Tidak
menjadi 'role model' yang baik. Ketika anak
perempuan saya, Suhaila, masih kecil saya memerhatikan
gelagatnya. Dia mahu pakai pakaian yang sama warna dengan
ibunya. Mahu memakai lipstik ibunya. Mahu memasak dan mengemas
rumah, juga seperti ibunya. Pendek kata apa sahaja yang yang
dilakukan oleh si ibu mahu diturutinya. Kalau dalam aspek
sebegini anak-anak mahu mencontohi ibu bapa maka pastinya mereka
cuba mencontohi aspek-aspek yang lain juga. Sebab itu ada
pepatah yang menyebut, "bapa borek anak rintek". "Kemana kuah
kalau tidak tumpah ke nasi". "Seperti ketam mengajar anak
berjalan betul". "Kalau bapa kencing berdiri anak pula kencing
berlari". Semua ini membuktikan bahawa kalau anak-anak
bermasalah maka faktor utama yang perlu dilihat terlebih dahulu
ialah ibu bapa mereka.
Ibu bapa perlu faham, didikan
sebenarnya melalui tauladan bukannya melalui paksaan. Anak-anak
lebih percaya apa yang dilihat berlaku sekelilingnya daripada
apa yang didengar. Kalau ibu bapa menyuruh anak menghormati
masa tetapi mereka sendiri tidak menghormatinya, maka anak-anak
tetap tidak akan mendengar saranan ibu bapa ini. Kalau kita
mahukan anak-anak berjanji berkelakuan baik dan sebagainya, kita
mesti buktikan yang kita sebagai ibu dan bapa sentiasa berpegang
teguh pada janji. Cuba hitung berapa banyak janji anda dengan
anak-anak, sejak mereka kecil, yang belum anda tunaikan? Dimana
kredibiliti anda? Ingat mereka membesar dengan anda 24 jam
sehari. Mereka tahu kehebatan anda dan juga kelemahan anda.
Buktikan kepada mereka yang anda sentiasa memperbaiki diri
barulah anak-anak akan mencontohi anda. Begitu juga dalam soal
ibadah. Ramai anak-anak malas sembahyang semata-mata sebab ibu
bapa mereka sendiri tidak pernah mengambil berat tentang
sembahyang. Apatah lagi untuk berjemaah satu keluarga. Kalau
anda tidak memperbaikinya hari ini maka bila lagi? Apakah anda
mahu tunggu sehingga anak anda tidak boleh ditegur dan
diperbaiki lagi?
Ingat hubungan seorang anak
dengan kedua ibu bapa tidak akan putus sehingga ke akhirat.
Apabila anda mati, hanya tiga perkara sahaja yang akan bersama
iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang
soleh yang mendoakan anda.
Oleh itu jadilah ibu bapa yang
baik. Ibu bapa yang boleh dijadikan contoh tauladan oleh
anak-anak. Dalam siri
Motivasi Alihan
Pelajar yang saya jalankan, 90% anak-anak tidak meletakkan
ibu dan bapa sebagai model ikutan mereka. Mereka lebih melihat
orang lain yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin sebagai idola
mereka. Malah 95% pula tidak memilih Nabi Muhammad s.a.w
sebagai ikutan mereka. Salah siapa apabila semuanya ini
berlaku? Mulakanlah perubahan, dan perubahan itu perlu
dilakukan SEKARANG!
|