|
Hasil kajian mendapati ibu bapa hanya berkomunikasi 5 - 10 minit
sahaja dengan anak-anak. Fakta ini pasti mengejutkan banyak
pihak. Cuba fikirkan, bila masanya kali terakhir anda
berkomunikasi secara berkesan dengan anak-anak. Komunikasi
berkesan merujuk kepada perhubungan dua hala antara ibu bapa dan
anak-anak. Perhubungan ini pula perlu wujud dalam keadaan mesra
dan tanpa sebarang tabir mental (mental block).
Anda
sebenarnya diktator.
Kerap kali faktor
ini berlaku ketika membimbing anak-anak. Percakapan yang wujud
antara ibu bapa dan anak-anak lebih berbentuk larangan,
perbandingan, sindiran dan arahan. Kalaulah ini cara anda
mendidik anak-anak maka wajarlah sekiranya anda dianggap
sebagai seorang yang memimpin keluarga secara autokratik. Cuba
ingatkan semula perkataan-perkataan anda tehadap anak-anak
setiap hari
- Ali
balik sekolah nanti buat kerja rumah (arahan).
-
Jangan lupa tolong angkat kain lepas ini (arahan).
- Mak
tak nak tengok kamu bergayut kat telefon lama-lama macam
semalam (larangan).
-
Itulah kau bila belajar jer malas, tengok si mamat tu tak
payah disuruh (membandingkan).
-
Hmm... daripada bagi kat Ali tu baik kasi kat kucing.
Bukan dia hargai pun. (Sindiran).
Inikah
komunikasi yang ada antara anda dengan anak-anak? Kalau inilah
yang anda faham sebagai komunikasi, maka anda jelas sedang
menyediakan anak-anak yang bakal punya masalah dihari muka
mereka.
Fahami
mereka dan baru mereka memahami anda.
Inilah sebenarnya yang anda patut
lakukan. Letakkan diri anda ditempat mereka.
Selami perasaan mereka. Nasihat anak-anak anda seperti mana
kawan-kawan mereka menasihati mereka. Elakkan dari terbentuknya
tabir minda antara anda dan anak anda. Jangan sesekali anda
mengkritik mereka secara melulu. Setelah terbentuknya jambatan
perasaan barulah anda tunjukkan apa kesilapan mereka dan buka
minda mereka akan akibat-akibat buruk yang mungkin menimpa
sekiranya mereka tidak melakukan perubahan.
Jangan sesekali
mengharapkan perubahan yang mendadak atau serta-merta, sebab
perubahan sebegini biasanya tidak bertahan lama. Ceritakan
kisah-kisah silam anda kepada mereka agar mereka tahu bagaimana
anda menghadapi sesuatu situasi yang memerlukan ketabahan dan
kecekalan.
Berikan mereka dorongan.
Jangan sesekali anda tunjukkan
yang anda meragui kebolehan anak-anak anda dalam melakukan
sesuatu perkara. Berikan mereka dorongan. Tolong mereka
apabila perlu dan biarkan anak-anak belajar melalui kesilapan.
Jangan harapkan bahawa anak-anak anda akan melakukan sesuatu
perkara kali pertama dengan sempurna.
Begitu juga
dalam soal pelajaran, elakkan dari meletakkan harapan yang
terlalu tinggi terhadap anak-anak. Harapan yang menggunung ini
ada ketikanya menyukarkan dan membebankan mereka. Elak dari
berkata, "mak nak lihat kamu dapat 8A dalam peperiksaan PMR
tahun ini". Tetapi ucapkanlah begini, "mak nak tengok kamu
lakukan yang terbaik dalam PMR tahun ini, walau apa sekalipun
keputusannya mak redha. Yang penting kamu mesti lakukan yang
terbaik dan telah berusaha bersungguh-sungguh". Selalulah
ucapkan kata-kata ini hingga lazim dalam pemikiran anak-anak.
|