|
Dalam kehidupan hari ini, masa ibu
bapa bersama anak-anak semakin berkurangan. Keadaan ini tidak
dapat dielakkan disebabkan oleh perubahan zaman yang menyaksikan
perkara seperti:
Beban kerja yang semakin bertambah.
Perjalanan semakin lama kerana masalah trafik.
Ibu
bapa yang dua-duanya bekerja.
Anak-anak yang semakin sibuk dengan tuisyen dan aktiviti
sekolah.
Semua keadaan di atas membuatkan
masa kita dengan anak-anak semakin terhad. Bagi anak-anak,
mereka menilai kasih sayang melalui masa yang diberikan oleh ibu
bapa untuk bersama mereka. Tidak ada suatu apa pun yang boleh
menggantikan masa. Semakin banyak masa yang kita berikan
kepada mereka semakin terasa oleh mereka akan kasih sayang
kita. Tetapi apabila kuantiti masa untuk bersama anak-anak
terhad disebabkan oleh keadaan, maka adalah penting masa yang
terluang itu dimanfaatkan secara berkualiti.
Meskipun ia tidak mungkin sama
kalau dibandingkan kualiti dengan kuantiti, namun menggunakan
masa yang pendek secara berkualiti sekurang-kurangkan dapat
mengimbangi kuantiti masa yang sedikit itu. Berikut adalah
beberapa petua yang boleh dikongsikan bersama.
SOLAT BERJEMAAH
Tidak ada masa yang paling pendek tetapi paling berkualiti
selain dari solat berjemaah bersama keluarga. Paling mudah
ialah solat subuh yang hanya dua rakaat. Kalau dihitung jumlah
masa yang diperlukan tidak sampai pun 15 minit, tetapi ia cukup
bermakna kerana disitulah bermulanya hari kita. Dengan solat
berjemaah, bapa sebagai imam akan lebih dihormati sebagai ketua
keluarga. Selepas itu bermaaf-maafan pula, tidak perlu tunggu
hanya pagi Hari Raya untuk memohon kemaafan. Pada hari minggu,
boleh diselitkan sedikit dengan tazkirah pendek sebagai santapan
minda dan rohani. Kalau tidak mampu setiap hari, pastikan
sekurang-kurangnya beberapa kali dalam seminggu. Selepas solat,
doalah dengan doa yang boleh difahami oleh ahli keluarga dan
mereka pula mengaminkannya. Solat berjemaah bersama keluarga
meningkatkan kemesraan dan keakraban antara ibu bapa dan
anak-anak.
MAKAN MALAM BERSAMA
Persefahaman dan keharmonian dapat dibentuk dengan sering makan
bersama. Disebabkan waktu siang pada kebiasaannya semua sibuk,
kenapa tidak jadikan makan malam sebagai waktu untuk bersama.
Sepanjang waktu makan bolehlah tanya-tanyakan bagaimana hari
masing-masing. Tujuannya hanya untuk tingkatkan kemesraan.
Kalau ada masalah yang mahu dibincangkan maka ia mesti
dibincangkan diluar waktu makan. Kalau anak-anak membuka
tajuk perbualan yang mungkin menimbulkan ketegangan maka
kawallah keadaan. Minta anak ceritakan selepas selesai makan
nanti. Usah hilangkan selera makan dengan mood dan perasaan
yang negatif.
AMBIL CUTI
Ambillah cuti dan rancang cuti anda untuk bersama keluarga.
Sekarang adalah waktu cuti sekolah, maka ini adalah saat yang
terbaik untuk ibu bapa bercuti bersama anak-anak dan menggunakan
masa secara berkualiti. Banyak destinasi percutian yang boleh
kita pergi dan rancanglah perbelanjaan agar tidak
berhabis-habisan. Bagi anak-anak, yang penting ialah masa yang
telah ibu bapa luangkan untuk bersama mereka. Beritahu mereka
dengan jelas bahawa cuti itu diambil memang dengan tujuan untuk
bersama. Anak-anak akan lebih menghargai lagi kesanggupan
kita. Walau bagaimana cuti itu dihabiskan, kita sebagai ibu
bapa usah merungut dan mengungkit seolah-olah kesal ambil cuti
pada masa tersebut. Ini memberikan tekanan kepada anak-anak dan
membuatkan mereka rasa bersalah.
TEMANI ANAK-ANAK
Anak-anak mungkin tidak meminta tetapi apa salahnya menemani
mereka dalam keadaan yang kita tahu mereka memerlukan kita.
Misalnya, hantarlah mereka ke sekolah pada hari peperiksaan dan
temani mereka ketika ambil keputusan peperiksaan. Saya masih
teringat bagaimana keadaannya ketika saya hadir menemani anak
mengambil keputusan UPSRnya baru-baru ini. Ketika itu pelbagai
bentuk perasaan yang wujud. Ada anak-anak yang seronok kerana
mendapat keputusan 5A dan ada yang menangis dan meraung kerana
gagal menyaingi rakan-rakan lain yang cemerlang. Ketika itu,
hanya segelintir sahaja ibu bapa yang hadir dan anak-anak yang
kecewa tadi hanya dipujuk oleh rakan-rakan sebaya. Guru-guru
pula sibuk dikerumuni oleh pelajar-pelajar yang berjaya. Hati
saya terdetik, alangkah baiknya kalau ibu bapa ada bersama sebab
saat inilah anak-anak memerlukan mereka. Ada sesetengah ibu
bapa tidak mahu hadir kerana mereka dapat rasakan yang anak
mereka tidak akan cemerlang. Mereka tidak mahu menanggung rasa
malu apabila ditanya keputusan anak oleh ibu bapa yang lain.
Sebagai ibu bapa kita perlu ingat, yang penting ialah perasaan
anak-anak bukan perasaan kita. Oleh itu temanilah mereka dalam
apa jua keadaan.
ADAKAN MASA UNTUK SETIAP
ANAK
Masa yang berkualiti bukan sahaja perlu diberikan untuk seisi
keluarga tetapi ibu bapa hendaklah adakan masa untuk bersama
dengan setiap anak secara individu. Sebab tidak semua perkara
yang mahu dibincangkan oleh anak itu merupakan perkara umum.
Ada ketika mereka mahu bincangkannya secara peribadi. Oleh itu
rancang juga masa untuk kita bersama dengan setiap anak secara
peribadi. Sebagai contoh, ada masa kita bawa hanya seorang anak
sahaja bersama kita seperti mengajaknya makan di luar. Lain
hari giliran anak yang lain pula Ada masa bapa yang bawa anak
tanpa kehadiran ibu dan begitu juga sebaliknya. Anak dapat
rasakan inilah masa yang paling berkualiti dan sentiasa menunggu
peluang untuk bersama lagi. Adalah satu kesilapan apabila ibu
bapa sangkakan semua aktiviti mesti dilakukan bersama sebab ada
ketikanya anak-anak mahu dilayan secara istimewa.
MENJADI PENDENGAR YANG BAIK
Hikmah kita diberikan satu mulut dan dua telinga ialah supaya
kita lebih banyak mendengar dari berbicara. Dalam aspek
keibubapaan kita akan dapati bahawa menjadi pendengar yang baik
adalah perkara yang paling mudah untuk dibuat tetapi sukar untuk
dipraktikkan. Kita lebih banyak bercakap dari mendengar.
Kebanyakan dari apa yang dicakapkan pula lebih kepada arahan,
suruhan, teguran, sindiran dan sebagainya. Untuk memahami
perkembangan jiwa anak-anak, kita mesti berikan perhatian
terhadap apa yang disampaikan. Kalau kita sedang melakukan
sesuatu seperti memasak, membaca akhbar, menanam pokok, membasuh
pinggan dan sebagainya, maka hentikan perlakuan itu untuk
seketika. Tumpukan kepada apa yang anak-anak sampaikan.
Anggukkan kepala, iyakan apa yang disampaikan, lihat anak
matanya, dan berikan tindakbalas yang sewajarnya. Anak-anak
tahu sama ada mereka diambilberat atau tidak dipedulikan. Malah
anak-anak kecil akan jujur dan ada ketikanya bertanya kenapa
kita tidak melayani mereka sedangkan ketika itu kita menjawab
pertanyaan mereka. Sebabnya, bahasa gerak badan kita tidak
menunjukkan keikhlasan dalam memberikan balasan kepada mereka.
BERCERITALAH..
Semua orang sukakan cerita lebih-lebih lagi anak-anak. Kalau
kita perhatikan sebahagian besar kandungan al-Quran mengandungi
cerita-cerita yang memberi banyak petunjuk dan pengajaran.
Bercerita adalah cara terbaik untuk mendidik anak-anak.
Anak-anak jadi negatif juga disebabkan cerita-cerita yang mereka
baca, dengan dan lihat sama ada di radio, TV, internet dan
pelbagai media lainnya. Kalau kita tidak bercerita dengan
anak-anak maka mindanya mungkin akan dipengaruhi oleh
cerita-cerita yang negatif. Macam-macam cerita yang boleh
disampaikan kepada anak-anak sama ada kisah nabi, cerita rakyat,
isu semasa dan malah kisah silam dan pengalaman hidup kita
sendiri. Melalui cerita kita dapat membentuk peribadi dan
sahsiah diri mereka. Anak-anak juga rasa seronok setiap kali
bersama sebab sentiasa menantikan cerita dari kita.
SUBURKAN KEBAIKAN ANAK
Waktu kita kecil dahulu kita sering melakukan sesuatu dan
memanggil nama ibu bapa untuk dapatkan perhatian dan pujian.
Kata-kata seperti, “Mak, tengok adik buat ni.. cantik tak??”;
“Abah, tengok adik angkat ni.. kuat tak???” telah menjadi lumrah
membuktikan bahawa kita mahukan perhatian ibu bapa kita.
Begitulah juga dengan anak-anak kita. Apabila kita lihat
sesuatu yang baik dilakukannya maka pujilah kerana itu yang
anak-anak mahukan. Kerapkali ibu bapa mudah nampak kekurangan
dan kesilapan anak-anak tetapi kurang peka terhadap kelebihan
dan kebaikan mereka. Apabila kita bersama mereka cuba fokus
kepada kelebihan anak-anak dan lebih mencari kebaikan mereka.
Puji, dorong, dan bantu mereka menyuburkan potensi yang mereka
ada. Jangan pula masa yang sedikit antara kita dan anak-anak
itu digunakan lebih untuk memarahi, menghukum, mengherdik dan
sebagainya.
RANCANG MASA ANDA
Dalam kita membuat perancangan kerja jangan lupa masukkan masa
untuk bersama anak-anak itu sebagai salah satu agenda penting.
Anggaplah ia sebagai satu temujanji yang tidak boleh tidak kita
mesti hadirkan diri. Saya sendiri sering menolak
ceramah-ceramah yang diminta oleh organisasi apabila ia
bertembung dengan temujanji saya dengan anak-anak. Bagi saya
temujanji dengan anak-anak sama pentingnya dengan temujanji
kerja, malah kalau diselami ia lebih penting lagi dari itu.
Sebab itu ramai antara kita merasa tidak punya masa untuk
anak-anak sedangkan hakikatnya kita tidak pernah merancang masa
untuk bersama mereka.
MASALAH ADALAH PELUANG KITA
Kalau ditanya anak-anak bagaimana yang ibu bapa mahukan,
semuanya mahu anak-anak yang baik, rajin, soleh, bijak dan
sebagainya. Tidak seorang pun ibu bapa yang mahukan anak-anak
yang bermasalah. Tetapi kita lupa, setiap manusia pasti ada
masalah dan tidak ada seorang pun manusia yang sempurna.
Begitulah juga dengan anak-anak kita. Sebenarnya masalah adalah
pintu masuk untuk kita mendekati diri dengan anak-anak.
Apabila anak-anak menghadapi
masalah, tertekan, berperasaan negatif dan sebagainya maka itu
adalah peluang untuk kita memahami, berbincang dan membantu
mereka. Itu adalah saat seorang anak memerlukan ibu bapa di
sisinya. Jangan pula kita marahi mereka kerana mereka ada
masalah. Misalnya, ada waktu anak akan rasa tertekan dengan
persekitarannya. Beritahulah mereka bahawa adalah normal merasa
tertekan dan bantu mereka mengatasi tekanan tersebut dengan cara
yang baik. Begitu juga apabila mereka marah disebabkan sesuatu
perkara maka beritahu mereka adalah normal untuk merasa marah
tetapi tidak sampai bertindak melulu tanpa akal semata-mata mahu
puaskan marah itu. Hulurkan bantuan kepada anak-anak sama ada
dari segi moral, ide, wang dan sebagainya. Tetapi jangan pula
buatkan mereka terlalu bergantung kepada kita apatah lagi
memanjakan mereka secara berlebihan. |