|
Ramai yang merasakan bahawa mendidik anak-anak
untuk cemerlang memerlukan ilmu keibubapaan yang mendalam.
Sebenarnya apa yang anda perlukan ialah naluri kemanusiaan.
Sekiranya anda cuba memahami kenapa seseorang anak melakukan
atau bertindak dalam sesuatu perkara maka lebih mudah untuk anda
merangka penyelesaian dan memikirkan pendekatan terbaik
menangani dan menasihati mereka. Cara terbaik ialah meletakkan
diri anda ditempat mereka dan tanya diri sendiri kenapa aku
melakukannya begini.
Satu perkara yang anda perlu faham tentang
tingkahlaku ialah:
‘Semua tingkahlaku adalah untuk kebaikan
diri sendiri’
Mungkin tingkahlaku anak-anak anda tidak seiring
dengan adab sopan, peraturan atau disiplin tetapi percayalah
mereka melakukannya kerana ada sesuatu yang mereka cari untuk
kepuasan diri mereka sendiri. Setelah anda memahami ‘hukum’ ini
maka anda perlu memikirkan sama ada anak perlu dipuji atau perlu
dihukum. Dua perkara ini sangat penting dan perlu dilakukan
dengan berkesan agar ia melahirkan anak-anak yang positif
mindanya.
Sayangnya, tidak ramai ibu bapa yang tahu
bagaimana nak memuji atau menhukum anak-anak mereka. Ada
ketikanya pujian yang diberikan bagaikan melepaskan batuk
ditangga dan tidak berkesan. Ada ketikanya hukuman yang
dikenakan pula tidak setimpal, tidak adil dan terlalu mengikut
perasaan lalu anak-anak tidak mempelajari apa-apa disebalik
kesalahan yang telah dilakukan. Hukuman terdiri dalam pelbagai
bentuk iaitu:
-
Dimarahi
dengan kata-kata tetapi tidak menyentuh sifat anak, hanya
menyentuh tingkahlaku mereka.
-
Dipukul
sedikit (bagi anak-anak yang belum remaja).
-
Didenda
untuk melakukan kerja seperti kerja-kerja rumah.
-
Disekat
sementara dari mereka menikmati hiburan kegemaran atau
keluar bersama rakan-rakan.
-
Dikurangkan wang saku berbanding seperti lazimnya untuk
tempoh waktu tertentu.
-
Lain-lain.
Adalah penting bahawa hukuman hanya diberikan
setelah anak-anak terlebih dahulu dimaklumkan akibat daripada
tingkahlaku buruk mereka. Sebab itu kesalahan pertama anak
tidak wajar terus dimarahi dan didenda. Biasanya apabila ia
merupakan kesalahan pertama, ibu bapa perlu sekadar memaklumkan
yang mereka marah tetapi tidak menunjukkan kemarahan tersebut.
Selepas itu anak diberitahu apa akibatnya kalau kesalahan itu
berulang.
Untuk memuji dan memarahi/menghukum secara
berkesan langkah-langkah seperti berikut hendaklah digunakan:
-
Maklumkan
pada anak-anak sejak awal-awal lagi bahawa anda akan
sentiasa melihat dan memberitahu mereka tentang perkembangan
tingkahlaku mereka. Nyatakan juga apa bentuk ganjaran atau
hukuman yang akan mereka terima.
-
Pujian dan
hukuman mesti disegerakan.
-
Nyatakan
kebaikan atau kesalahan mereka secara spesifik.
-
Nyatakan
dengan jelas apa perasaan anda dan nyatakan apa kesan
tingkahlaku mereka terhadap maruah keluarga atau masa depan
mereka.
-
Diam
seketika agar anak anda dapat memahami dan merasakan sama
apa yang sedang anda rasai.
-
Kalau ia
suatu pujian, galakkan anak-anak untuk mengulangi
tingkahlaku baiknya itu. Sebaliknya, kalau ia suatu
hukuman, pastikan anak anda tidak mengulanginya dimasa-masa
yang akan datang. Nyatakan dengan jelas apa tindakan anda
sekiranya mereka mengulanginya dilain masa.
-
Lihat mata
anak ketika anda bercakap, sentuh anak-anak ketika anda
membina keyakinannya.
|