|
Manusia
mudah nampak keburukan seseorang tetapi kurang peka dengan
kebaikan yang ditunjukkan. Sebab itulah ibu bapa lebih banyak
menegur, memarahi dan menasihati kesilapan anak-anak mereka
berbanding memuji kebaikan-kebaikan mereka. Seorang ketua lebih
kerap menegur orang bawahannya berbanding memuji kebaikan yang
ada. Seorang sahabat bermasam muka dengan kesilapan sahabatnya
dan lupa kebaikan-kebaikan yang dicurahkan selama ini.
Kalau
kita mahu lahirkan seorang insan cemerlang sama ada dia seorang
anak, rakan mahukan orang bawahan maka kita perlu suburkan
kebaikan dalam diri mereka. Salah satu cara menyuburkan
kebaikan ialah dengan memuji kebaikan-kebaikan yang telah
dilakukan agar mereka seronok mengulangi lagi kebaikan ini
dilain masa.
Berikut
adalah cara memuji yang berkesan:
1.
Disegerakan
Pujian
mestilah disegerakan dan paling berkesan ialah ketika sesuatu
kebaikan itu sedang dilakukan. Misalnya kalau kita lihat anak
kita tiba-tiba datang rajinnya menolong kita di dapur sedangkan
selama ini bila dipaksa baru mahu buat maka pujilah sedikit anak
itu, “Haaa… macam ni lah anak mak, cepat kerja-kerja ni siap
bila adik mahu bantu mak”. Ia akan lebih berkesan lagi apabila
ketika itu ada juga orang lain selain kita di situ.
2.
Ikhlas dari hati
Orang
dapat membaca sejauh mana kita ikhlas apabila memuji mereka.
Oleh itu, biarlah puji-pujian itu datang daripada hati agar ia
benar-benar dihargai. Jangan memuji dengan nada menyindir
kerana ia akan menyakitkan hati orang tersebut. Kalau orang
yang dipuji itu berada hampir dengan kita tepuk-tepuklah bahunya
sedikit sebagai bukti kita benar-benar seronok dengan tingkah
lakunya.
3.
Puji secara
spesifik
Puji-pujian pula biarlah dibuat secara spesifik bukan secara
umum. Misalnya, apabila anak kita tunjukkan sebuah lukisan
yang dihasilkannya, tidak cukup dengan berkata “wahh, cantik
lukisan adik!”. Tetapi nyatakanlah dengan lebih specifik apa
yang cantiknya, misalnya “wahh, cantik lukisan adik! Mak suka
adunan warna yang adik gunakan”. Atau pun “wahhh, cantik pokok
yang adik lukis dalam gambar ini”. Begitu juga apabila anak
kata dia ada peningkatan dalam markah yang diperolehi dalam
peperiksaan baru-baru ini. Sebagai ibu bapa, kita minta anak
tunjukkan markah-markah itu dan kita puji secara spesifik.
Misalnya, “Syabas, kakak dah ada peningkatan dalam markah
Sejarah dan Matematik. Bahasa Inggeris ni pula tidak mengapa,
teruskan lagi usaha kakak seperti yang kakak lakukan dalam dua
subjek tadi”. Apabila kita memuji secara spesifik maka orang
yang dipuji tahu bahawa kita memang memberikan perhatian
terhadap apa yang mereka tunjukkan. Mereka juga sedar bahawa
puji-pujian tersebut bukan sekadar untuk ambil hati.
4.
Realistik dan tidak
keterlaluan
Adalah
penting bagi kita memuji sesuatu yang benar dan bukan atas
sesuatu yang sengaja kita ada-adakan. Jangan juga memuji
dengan cara yang keterlaluan hingga ketara yang pujian itu
sengaja dibuat-buat. Yang penting adalah bersederhana dalam
memuji agar orang yang dipuji itu tidak rosak akhlak dan
peribadinya kerana termakan pujian. Berkata benarlah dalam
mengeluarkan puji-pujian kerana ia melambangkan keluhuran hati
kita sendiri.
5.
Tidak disulam dengan
kata-kata negatif
Apabila memuji jangan disusuli
pula dengan ungkapan-ungkapan yang negatif.
Misalnya:
“Amboi, kemasnya bilik adik
sekarang, alangkah baiknya kalau sejak dulu lagi macam ini”.
Kata-kata ‘alangkah baiknya
kalau sejak dulu lagi macam ini’ itu adalah kata-kata
negatif yang tidak sepatutnya diungkit lagi ketika memuji.
“Macam ni lah yang saya mahukan
dari pekerja saya, hasilkerja yang kemas dan rapi tapi jangan
setakat seminggu dua sudahlah”.
Kata-kata ‘tapi jangan setakat
seminggu dua sudahlah’ adalah negatif.
Kalau sudah
dipuji tu puji sahajalah dan tidak perlu untuk mengungkit atau
mengandaikan perkara yang buruk-buruk lagi. Sebab setiap pujian
yang disulam dengan kata-kata negatif menunjukkan bahawa kita
tidak seratus peratus ikhlas. Lebih malang lagi orang yang
dipuji itu tidak akan mengulangi kebaikan yang dilakukan kerana
merasakan kebaikan tersebut tidak dihargai. Tidak ada sesiapa
pun yang tidak suka dipuji oleh itu kita sebenarnya bertindak
bijak dengan memberikan apa yang mereka harapkan lebih-lebih
lagi jika kita seseorang yang lebih dihormati oleh mereka. |