Petua 1
: Jangkakan Kejayaan
Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar
akan berlaku. Oleh itu, daripada membuang masa menjangkakan
kegagalan kenapa tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya anda
jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk
berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan,
maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif.
Malangnya dalam kehidupan ini kita sering takutkan kegagalan.
Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar
dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta
kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus
harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah
berikan kepada manusia.
Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau
yang orang lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan
kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Kalau anda perlu
ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah. Pastikan
juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara
yang mungkin membantutkan kejayaan tersebut. Lihat diri anda
sebagai seseorang yang pasti merealisasikan harapan yang
digenggam.
Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada
harapan untuk maju, tiada peluang untuk meningkatkan keupayaan
maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap negatif iaitu sikap
malas.
Petua 2 : Lakunkan Watak Orang Cemerlang
Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan
kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti
mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani.
Cuba lihat senario berikut,
katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk
berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar
kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai
pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama
anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan.
Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat
untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama
anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Maknanya, apabila
pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi
sebelum masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati
watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak
berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari
senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab
anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh akan memohon untuk
berlakun.
Kalau anda berada dalam situasi
di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti
dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula
menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun
ketebalannya mencecah ratusan muka surat. Anda akan mula
menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan
kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup
mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya
lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda
mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda.
Tidakkah anda terfikir betapa
beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari
dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam
lakunan filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun
di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan
watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda
berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, maka
bertindaklah seperti pelajar cemerlang di sekolah anda sekarang!
Sekiranya anda seorang pekerja, bertindaklah seolah-olah anda
pekerja cemerlang sekarang! Mula mengurus masa secara berkesan,
menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah
anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya
nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar
cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu
menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain
untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan
berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan
sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka
disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam
masyarakat. Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan
sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.
Anda tidak punya pilihan lain.
Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak
orang cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah
seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang
akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap
baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari
yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda
perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak
mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sebelum ini. Anda
mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran
baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang
itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.
Petua 3 : Ubah Penampilan
Diri
Sikap positif terserlah melalui
penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang
bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya,
kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya
kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif
melalui penampilan yang positif. Ambil contoh yang paling mudah,
anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang
rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja
lengan pendek dan berseluar kasual. Sampai sahaja di sana, anda
lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik
atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin
walau bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti rasa bersalah
dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya
anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya.
Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya
pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan emosi
anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda
mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan
yakin.
Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah
mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda
mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti
kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa
pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri
atau imej yang positif mestilah membawa pulangan yang setimpal
atau berbaloi. Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk
membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan
menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan
yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan
produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai
penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan
sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan
mempunyai penampilan positif. Mereka mempengaruhi pelanggan
dengan penampilan diri begitu.
Beberapa perkara yang mesti
diperhatikan dalam membentuk penampilan diri:
- Potongan rambut - Potongan
yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
- Pilihan warna dan corak -
Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta
'matching'.
- Jenis pakaian - Sama ada
batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
- Kemas dan rapi - Sentiasa
digosok rapi.
- Kasut - Kasut yang sesuai
dengan tujuan kehadiran kita di satu-satu tempat.
- Aksesori - Jam tangan,
beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman dan lain-lain.
- Jenama - Bukan perkara
utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
- Kesihatan diri - Keceriaan
wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya.
- Gaya - Cara berjalan,
bercakap, ketawa dan mimik muka.
- Senyum - Rahsia utama
penampilan diri ialah senyuman yang terukir.
Tuntutan penampilan diri ini
berbeza-beza mengikut kedudukan anda dalam masyarakat dan karier
yang anda ceburi.
Walau siapa anda, sama ada sedar atau tidak anda tetap dinilai
oleh manusia lain melalui penampilan diri. Sebab itu permohonan
untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses temuduga.
Mereka mahu melihat calon-calon secara terus bukan sekadar untuk
menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk
melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan peribadi
seseorang. Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua
golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja,
eksekutif, pemimpin dan sebagainya.
Petua 4 : Berkawan Dengan
Orang Berjaya
Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, "kalau mahu kenal
seseorang itu maka kenallah kawan-kawannya". Oleh itu sekiranya
anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang
berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa
hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan
harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai
kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan
mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka
yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka.
Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang telah
berjaya. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar
tentang cara mereka membentuk personaliti dikalangan masyarakat.
Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma
yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula
jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh,
anda juga boleh melakukannya.
Petua 5 : Dalami Ilmu
Kecemerlangan
Semangat ada ketikanya naik dan ada ketikanya luntur. Ada
ketikanya kita terlupa tentang matlamat yang dikejar disebabkan
oleh pelbagai urusan dan aktiviti lain. Ada ketikanya juga diri
terasa malas dan bosan. Semuanya ini adalah lumrah hidup seorang
manusia. Untuk mengekalkan semangat dan membina sikap positif
maka anda perlulah sentiasa mendalami ilmu kecemerlangan diri.
Anda boleh mendalaminya dengan banyak membaca buku-buku
motivasi, berbincang dengan rakan-rakan tentang perancangan
anda, menghadiri program dan ceramah motivasi. Anda juga perlu
mendengar kaset-kaset motivasi dan mendapatkan bahan-bahan
daripada internet. Semakin bertambahnya ilmu kecemerlangan diri
didada maka semakin positif dan matang fikiran anda.
Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan
Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran
yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan
fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak
dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa
yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.
Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti yang cukup mudah.
Keluarkan sehelai kertas sekarang dan lakarkan suasana di sebuah
pantai yang indah permai. Ambillah masa lebih kurang 5 minit
untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada
lakaran itu cantik atau tidak, lakarkan sahaja apa yang
tergambar di fikiran anda tentang suasana di pantai.
Baik sekarang saya tanya anda, ada atau tidak lakaran
kapalterbang di dalam lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi
pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual air?
Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak
terfikir tentangnya. Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung
tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa
kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin
dapat menghasilkannya.
Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi
orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang
berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai
hari ini untuk menjadi orang berjaya.
Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:
- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.
- Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.
- Aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi.
- Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.
Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak! Hasrat anda memang baik
tetapi fikiran anda negatif sebab anda fokus kepada apa yang
anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana anda main-main dalam
pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap ibu bapa,
ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah
juga yang akan terhasil! Anda menghasilkan sesuatu yang negatif
sedangkan hasrat anda baik.
Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada
gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti
berikut:
- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.
- Mulai hari ini aku solat lima waktu.
- Aku akan tumpu pada guru dalam kelas.
- Aku ikut cakap ibu bapa.
Lihat, kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari
sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran
yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah
juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah
dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata
secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali
anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti tanpa anda
sedari anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus
kepada apa yang anda mahukan!
Petua 7 : Kejayaan Silam Membarai Diri
Dalam hidup kita ini pasti ada sekali dua kita mencipta kejayaan
sama ada kecil atau besar. Waktu kecil dulu mungkin kita pernah
tewaskan rakan-rakan dalam suatu permainan dan kita berbangga
dengannya. Mungkin juga kita pernah dulunya dipuji atas
pencapaiaan, kualiti kerja atau kerajinan kita. Mungkin kita
pernah menerima anugerah sebagai pemenang dalam apa jua
pertandingan. Mulai hari ini cuba ingatkan kembali sebanyak
mungkin kenangan manis ini dan senaraikan dalam diari anda.
Setiap kali anda rasa tertekan, negatif, malas, bosan dan
sebagainya maka bacalah diari anda ini dan hayati semula
saat-saat tersebut. Gambarkan dengan jelas apa yang berlaku
ketika itu. Rasakan apa yang anda rasakan ketika itu. Semangat
anda akan membara sekiranya anda lakukannya bersungguh-sungguh.
Semangat untuk kekal cemerlang ini akan menjana sikap yang
positif.
Tidak kira betapa gagalnya anda rasa hidup ini namun pasti
pernah sekurang-kuangnya sekali anda pernah dipuji atas kebaikan
dan kejayaan silam.
Lakukan perkara berikut, sediakan satu buku kecil dan senaraikan
semua kejayaan anda sejak dari dahulu hingga ke hari ini, sama
ada kecil atau besar. Kemudian baca dan hayati apa yang anda
tulis itu satu persatu, gambarkan keadaan ketika itu, rasakan
perasaan anda ketika itu dan dengar apa yang anda dengar ketika
itu. Lakukannya dengan penuh kesungguhan dan rasakan satu
getaran perasaan yang positif yang mengalir dalam setiap urat
nadi anda. Sentiasa kemas kini buku kecil anda ini dengan
kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah sumber tenaga dan kekuatan
anda.
Anda mungkin tidak mengingati kesemuanya, tidak mengapa, ambil
masa anda. Anda boleh tambah senarai kejayaan anda pada
bila-bila masa sahaja.
Satu tabiat yang baik, mulai hari ini rakamkan setiap peristiwa
penting dalam hidup anda sama ada melalui gambar atau rakaman
video.
Setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa tidak dihargai, anda
rasa putus asa – lihat kembali buku kecil dan rakaman anda ini.
Petua 8 : Saranan Diri Positif
Untuk kekal dalam sikap positif anda perlu saran diri anda
dengan katajaya yang merangsang jiwa dan fikiran. Anda juga
boleh gunakan petikan mutiara kata daripada ahli ilmu, petikan
al-quran serta hadith. Dengan melazimkan hidup anda berpandukan
katajaya dan petikan-petikan ini maka ia memberi anda kekuatan
untuk menyahut cabaran dan mengatasi segala masalah.
Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu, misalnya:
“Kalau orang lain boleh.. Aku juga BOLEH!”
“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”
“I’m the best!”
“I can do it!”
Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran
diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam
minda anda.
Petua 9 : Soal Diri Dengan Soalan Positif
Dalam sehari anda menyoal beribu-ribu soalan kepada diri anda,
daripada soalan yang mudah-mudah hinggalah kepada soalan-soalan
yang membentuk masa depan anda. Anda mungkin bertanya
soalan-soalan mudah seperti hari ini nak pakai baju apa? Nak
makan di mana? Nak keluar denagn siapa? Nak balik pukul berapa?
Dan sebagainya. Soalan-soalan ini tidak menjejaskan kehidupan
dan peribadi anda. Tetapi ada ketikanya anda menyoal diri dengan
soalan-soalan yang boleh memberikan kesan terhadap hidup anda
seperti, Nak ambil kursus apa? Nak belajar lama mana? Nak rebut
peluang atau tidak? Dan sebagainya.
Orang berjaya menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh
memajukan dirinya seperti:
- Apa hikmah disebalik ujian Allah ini?
- Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik?
- Apa yang belum aku selesaikan lagi?
- Apakah setakat ini sahaja kemampuan diri yang dianugerahkan
oleh Allah kepada aku?
- Apakah aku mahu menyerah hanya dengan kegagalan sementara ini?
Semua soalan ini menjadikan anda lebih positif terhadap apa yang
berlaku. Soalan yang diajukan akan membina kekuatan dalaman
anda. Semakin berkualiti soalan yang dibentuk semakin
berkualitilah diri anda.
Perbezaan antara seorang insan dengan insan yang lain ialah
soalan lazim yang secara konsisten terbit difikiran. Manusia
lemah sering mengutuk dan memperkecilkan dirinya sendiri. Mereka
mungkin berkata:
- Nak buat macam mana aku ni lemah.
- Engkau lain aku lain.
- Engkau bolehlah aku ni siapa.
- Dah memang nasib aku begini, terima ajer lah..
- Buat berkali-kali pun gagal juga baik tak payah..
- Dah tahu diri tu bodoh buat apa tunjuk pandai.
Soalan yang positif akan:
- Megubah persepsi dan cara fikir kita
- Mengubah fokus kita
- Memberikan sumber kekuatan baru kepada kita
Petua 10 : Dapatkan Model Ikutan
Model ikutan adalah seseorang yang anda kagum dengan
pencapaiannya dan mahu mengikuti jejak langkahnya. Dapatkan
beberapa model ikutan terutamanya mereka yang telah berjaya
dalam bidang yang anda mahu ceburi.
Namun begitu sebagai orang Islam, model ikutan kita yang pertama
pastilah Nabi Muhammad S.A.W.
Selain daripada Nabi s.a.w yang lain semuanya ada kelemahan.
Malahan kita tidak boleh nafikan bahawa ulamak juga ada
kelemahan sebab itu pendapat ulamak secara ijmak lebih diterima
pakai dalam Islam berbanding pendapat hanya seorang ulamak
sahaja.
Setelah anda kenal pasti model ikutan anda, cuba dapatkan gambar
mereka. Baca juga kisah hidup mereka. Pelajari bagaimana mereka
merancang dan bertindak. Cari potongan kata-kata ucapan mereka
yang boleh dijadikan panduan hidup. Selami falsafah hidup mereka
dan lihat bagaimana mereka mengatasi setiap masalah yang datang
dalam hidupnya. Sebab semakin besar kejayaan seseorang itu maka
semakin besarlah cabaran serta masalah yang telah mereka hadapi.
Kejayaan dan pengorbanan adalah dua perkara yang sering berada
ditempat yang sama. Kejayaan bukanlah apa yang kita miliki
tetapi apa yang kita pelajari. Siapa kita dipenghujung kehidupan
ini jauh lebih penting berbanding apa yang kita perolehi ketika
itu.
SEKIAN
|