Dari Abu
Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang mu’min yang kuat adalah
lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mu’min
yang lemah. Namun keduanya itupun sama memperoleh kebaikan.
Berlumbalah untuk memperoleh apa saja yang memberikan
kemanfaatan pada mu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan
janganlah merasa lemah. Jikalau engkau terkena oleh sesuatu
musibah maka janganlah engkau berkata: “Andaikata saya
mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu.”
Tetapi berkatalah: “Ini adalah takdir Allah dan apa sahaja yang
dikehendaki olehNya tentu Dia melaksanakannya,” sebab
sesungguhnya ucapan “andaikata” itu membuka pintu godaan
syaitan.” (Riwayat Muslim)
Hadis di atas membuktikan Allah mahukan umat Islam menjadi
mukmin yang kuat iaitu kuat dari segi kesihatan fizikal,
pemikiran, keimanan, ketakwaan, ekonomi, ilmu pengetahuan,
jemaah dan segalanya. Untuk cemerlang kita mestilah bekerja kuat
dan bertindak bijak. Iaitu ‘Work Hard and Work Smart’. Bekerja
kuat memastikan kejayaan milik kita, cuma masa sahaja yang akan
menentukan kejayaan tersebut. Bertindak bijak pula
mempercepatkan lagi kejayaan itu disamping menjadikan kita orang
yang berkesan. Apabila kita bertindak bijak, kos menuju
kecemerlangan dapat dikurangkan, masa dapat dijimatkan, tenaga
dan sumber dapat disalurkan secara efektif.
Memahami Konsep 3S
Untuk cemerlang kita mesti memahami konsep 3S iaitu Sasaran,
Strategi dan Sikap. Dalam siri yang lalu, saya telah bincangkan
betapa pentingnya kita mempunyai matlamat atau sasaran dalam
menuju kecemerlangan.
Sasaran adalah hasil yang mahu dicapai dalam satu tempoh masa,
yang disertakan dengan perancangan yang rapi, yang menghantui
fikiran hingga timbul kesanggupan untuk melakukan apa sahaja.
Sasaran yang diletakkan itu membolehkan kita mengukur prestasi
kita dan mengukur kejayaan kita. Sasaran juga memudahkan kita
mengatur perancangan yang perlu digerakkan. Hadis di atas
menyarankan kita sebagai umat Islam berlumba-lumba dalam mencari
apa sahaja yang membawa kemanfaatan. Oleh itu kenapa tidak kita
letakkan sasaran yang besar-besar? Kenapa mesti berpuashati
dengan sasaran-sasaran kecil. Letakkanlah sasaran yang besar
seperti mahu jadi jutawan, pemimpin ulung, legenda, ternama, dan
sebagainya. Dalam berusaha itu juga kita mesti sentiasa memohon
pertolongan Allah. Sekiranya usaha yang kita lakukan itu
bertunjangkan keimanan dan ketaqwaan demi mencari keredhaan
Allah maka pasti pertolongan Allah akan tiba. Yang penting
jangan sesekali kita merasa putus asa dalam mengharap rahmat
Allah. Allah maha mengetahui apa yang baik untuk kita seperti
mafhum firmannya dalam surah al-Baqarah 2: 216 iaitu:
“… dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih
baik bagimu; dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia
melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada
mengetahui”.
Oleh itu hendaklah kita berlapang dada untuk menerima apa sahaja
yang didatangkan kepada kita kerana Allah maha mengetahui apa
yang terbaik untuk kita.
‘S’ kedua yang mendorong kepada kecemerlangan diri ialah
Strategi. Untuk cemerlang kita perlu ada strategi yang berkesan.
Malah mana-mana organisasi cemerlang di dunia pasti mempunyai
Perancangan Strategik (Strategic Planning) yang menjadi rangka
kepada perjalanan organisasi tersebut. Secara mudah Perancangan
Strategik bermakna menentukan apa yang mahu diperolehi dan
bagaimana cara paling berkesan untuk merealisasikannya. Begitu
juga dengan individu, apabila kita mengetahui apa sasaran hidup
kita maka langkah seterusnya ialah menentukan pula bagaimana
cara paling berkesan untuk mendapatkannya.
Langkah-langkah membina Strategi Berkesan:
- Tentukan sasaran
anda.
- Tentukan tempoh
masa yang diberikan untuk mencapai sasaran ini.
- Buat analisa
tentang kekuatan dan kelemahan diri.
- Kenalpasti ilmu,
kemahiran, individu tertentu, sumber-sumber dan
sebagainya yang diperlukan.
- Susun pelan
tindakan.
- Sentiasa memantau,
menyemak, menilai dan mengemaskini pelan tindakan
anda.
|
Perkara penting yang perlu
diingat:
- Sentiasa fleksibel
dalam pendekatan yang digunakan. Ada ketikanya kita
perlu mencuba beberapa pendekatan dalam mencari
pendekatan paling berkesan.
- Jangan tunggu
segalanya sempurna baru mahu bermula. Tidak ada satu
pun yang sempurna selagi ia ciptaan makhluk.
Menantikan sesuatu perancangan yang betul-betul
sempurna baru mahu bermula bermakna kita melambatkan
diri kita untuk cemerlang.
- Mulakan langkah
pertama sekarang. Tetapi harus diingat, untuk
memulakan kita bukan sahaja bersemangat ketika
bermula tetapi kita juga mesti kekalkan momentum
yang sama hingga ke penghujungnya.
- Belajar dari
setiap kesilapan dan kegagalan.
|
Hadis di atas juga melarang
kita menggunakan perkataan ‘andaikata’ iaitu menyesali apa yang
telah dilakukan apabila hasilnya tidak seperti yang kita
sasarkan. Dengan berkata begitu ia membuka pintu kepada godaan
syaitan dan ia juga menggugat keimanan kita terhadap qada dan
qadar Allah. Sebagai seorang Islam kita tidak sepatutnya risau
dengan urusan Allah. Kita mesti faham bahawa membuat
perancangan, mengatur pelan tindakan dan seterusnya berusaha
bersungguh-sungguh itu urusan kita sebagai hamba. Tetapi yang
menentukan hasilnya itu kelak adalah urusan Allah. Oleh itu,
kita hendaklah bersyukur dengan apa sahaja hasil yang datang.
Sekiranya hasilnya itu tidak memuaskan maka kita perlu belajar
dari kesilapan dan kegagalan ini. Setiap apa yang berlaku itu
tersirat hikmahnya yang tersendiri.
Hikmah dari kesilapan dan kegagalan ialah:
- Kesilapan dan
kegagalan membuka peluang mencari penyelesaian baru.
Ada ketikanya penyelesaian baru ini jauh lebih baik
dan lebih berkesan dari pendekatan yang sebelumnya.
- Kesilapan dan
kegagalan memberikan kita pengalaman. Ramai orang
takut mencuba kerana takut gagal. Kalau begitu
bagaimana kita boleh memperolehi pengalaman. Apabila
kita banyak kali mencuba dan banyak kali gagal maka
kita menjadi orang yang lebih berpengalaman dan
mampu membuat keputusan yang lebih bijaksana.
- Kegagalan membina
peribadi. Apabila kita gagal, kita boleh serahkan
segala-galanya pada nasib, mengalah dan putus asa
ATAU kita boleh memilih untuk berundur seketika,
melakukan 'post-mortem' dan melangkah semula dengan
lebih bergaya. Ingat! Berundur bukan bererti kalah,
mengalah bukan bererti lemah. Oleh itu adakah kita
mahu membina peribadi sebagai seorang yang gagal
atau sebagai seorang juara? Pilihan ada ditangan
kita sendiri.
- Kesilapan dan
kegagalan menyedarkan kita tentang kekurangan dan
kelemahan. Dengan pengalaman ini kita boleh
memperbaikinya dan menjadi semakin jauh lebih baik
selepas itu. Ia juga mengelakkan diri kita dari
bersikap ego, sombong dan takbur.
|
‘S’ terakhir yang sama
pentingnya dalam menentukan kecemerlangan adalah sikap. Kajian
menunjukkan 85% mereka yang berjaya dalam hidup ini adalah
berdasarkan sikap dan hanya 15% sahaja berjaya berdasarkan
kebijaksanaan. Kerana sikaplah maka Thomas Alva Edison yang
dikatakan bodoh disekolahnya akhirnya berjaya cipta lampu.
Kerana sikap juga Kolonel Sanders yang telah bersara pada usia
60 tahun berjaya memperkenalkan resepi ayam goreng KFC nya
keseluruh dunia. Bagaimana pula kita sebagai orang Islam?
Sasaran yang besar serta
Strategi yang mantap tidak mungkin dapat dicapai kalau sikap
kita bagaikan melepaskan batuk ditangga, sambil lewa dan
main-main dalam melakukannya. Sebaliknya, gabungan 3S ini akan
menjadikan umat Islam cemerlang dalam apa jua yang mahu
dilaksanakannya. Dalam ruangan yang akan datang saya akan
mengupas lebih lanjut tentang sikap dan kesannya dalam
menentukan kecemerlangan seseorang insan. InsyaAllah.
|