|
[ Laman
Utama ] [ Korporat ] [
Perkhidmatan ] [Forum
Siber ] [ e-Majalah ] [
Pautan ]
|
Islam Mahukan Umatnya Cemerlang
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku
Mohamad, Ph.D
PERHATIAN: Hakcipta dituntut oleh MAP
Training and Consultancy Sdn. Bhd. Anda tidak boleh mencetak atau mengedar
bahan-bahan dari laman-map ini sebelum terlebih dahulu mendapat kebenaran dari
kami. Bahan-bahan ini adalah untuk tatapan anda sebagai satu sumber ilmu
pengetahuan. Sebarang pertanyaan atau permohonan untuk mendapat kebenaran
boleh dibuat melalui emel.
|
Hari ini umat
Islam dianggap lemah diseluruh pelusuk dunia. Orang Islam
dituduh lebih sukakan keganasan berbanding keamanan dan
keharmonian. Di Malaysia sendiri, kaum Bumiputera, yang
majoritinya beragama Islam masih terlalu jauh pencapaian mereka
terutamanya dari segi pendidikan, sosial dan pegangan ekonomi.
Sekiranya orang Islam berpegang kepada apa yang disarankan oleh
Islam itu sendiri maka tidak seorang pun daripada mereka yang
gagal dalam hidupnya. Saya amat tertarik apabila membaca buku
“Think and Grow Rich” tulisan Napoleon Hill yang telah
dihasilkan pada tahun 1937. Dalam buku tersebut penulis secara
spesifik telah mengambil contoh kegigihan atau 'persistence'
yang ada dalam diri Rasulullah s.a.w sebagai antara penyebab
kenapa Islam berkembang dan berjaya seperti hari ini. Buku ini
telah dibaca dan menjadi rujukan utama hampir semua pakar
motivasi ternama barat seperti Zig Ziglar, Jim Rohn, Bob
Proctor, Anthony Robbins, dan lainnya. Malah penulis buku-buku
motivasi di Malaysia seperti Billi Lim yang menghasilkan buku
bertajuk Berani Gagal mengakui buku tersebut antara faktor yang
mengubah persepsi, fikiran dan keyakinan diri beliau. Kalau
mereka yang bukan Islam mengambil Nabi Muhammad s.a.w sebagai
contoh maka sewajarnya kita bincangkan bagaimana kita boleh
berjaya berdasarkan apa yang telah Islam anjurkan.
Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang
maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu
kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka
sendiri”. Ayat ini telah ditujukan kepada 'Amir bin at-Tufail
dan Ar-bad bin Robiah yang telah melakukan pakatan untuk
membunuh Baginda s.a.w tetapi akhirnya masing-masing mati akibat
penyakit taun dan dipanah petir disiang hari sewaktu panas
terik.
Ayat ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja hanya boleh mengubah
nasibnya dengan mengubah keadaan yang ada dalam diri mereka
sendiri. Apakah keadaan yang ada dalam diri kita yang boleh
diubah? Apakah warna kulit dan paras rupa? Pastinya tidak...
Sebaliknya apa yang perlu diubah ialah sikap dan cara fikir
kita. Apabila kita ubah sikap dan cara fikir bermakna kita ubah
nasib kita. Sikap yang buruk seperti malas, mungkir janji, ambil
mudah, tangguh kerja dan sebagainya apabila diamalkan secara
berterusan akan menjadi peribadi dan akhirnya membentuk budaya
sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa yang agung dan maju mempunyai
sikap yang bersungguh-sungguh, gigih, berdisiplin dan komitmen
kerja yang tinggi. Mereka juga mempunyai cara fikir yang positif
seperti sentiasa optimis, berfikiran terbuka, merebut peluang
dan mempunyai prinsip hidup yang juga positif. Sikap yang
positif ini hanya boleh terbentuk dengan adanya ilmu
pengetahuan. Sebab itulah, satu bangsa yang berilmu dapat
dilihat lebih positif sikap dan cara fikirnya jika dibandingkan
dengan mereka yang rendah tahap pendidikannya. Malah ilmu
kecemerlangan diri juga perlu dicari dan dipelajari dengan
melihat dan belajar dari mereka yang telah berjaya sebelum kita.
Umat Islam dahulunya adalah umat yang berjaya sehingga lahirnya
tokoh-tokoh Islam yang dikagumi barat seperti Ibnu Sina dalam
bidang perubatan, Ibn Khaldun dalam bidang sosial,
Al-Khawarizmi, dalam bidang matematik, Al-Farabi dalam bidang
falsafah, dan ramai lagi. Sikap, cara fikir, ketaqwaan dan
komitmen kerja tokoh-tokoh ini perlu diselami dan dipelajari
kiranya masyarakat Melayu yang beragama Islam mahu cemerlang
dalam cabaran hidup hari ini.
Allah s.w.t telah berfirman yang maksudnya:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk
yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan
keadaannya)”.
At-Tiin 95:4
Dengan kejadian yang begitu sempurna dan sebaik ini maka
mustahillah untuk orang Islam merasa rendah diri dan gagal dalam
hidupnya. Malah orang Islam sepatutnya menjadi khalifah dibumi
Allah ini. Menjadi pemimpin dan bukannya dipimpin. Semua masalah
ini dapat diatasi dan diselesaikan sekiranya kita memahami
hakikat diciptanya manusia seperti mafhum firman Allah:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
Adz-Dzaariyaat 51:56
Ayat ini jelas menyatakan bahawa semua manusia dicipta dengan
satu tujuan iaitu beribadah kepada Allah. Beribadah dengan
benar-benar memahami tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah.
Bukan sahaja mengakui bahawa Allah yang mencipta semua makhluk
termasuk kita tetapi juga hanya Dia-lah sahaja yang layak dan
berhak disembah. Islam tidak menghadkan konsep ibadah ini kepada
hanya ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji.
Malah apa sahaja yang dilakukan atas niat kerana Allah, mengikut
syariat Islam dan memberi manfaat kepada diri sendiri dan ummah
maka perlakuan itu juga diterima sebagai ibadah dan layak
menerima ganjaran pahala dari Allah s.w.t.
Satu perkara yang mesti difahami dalam menjadikan kehidupan
sebagai ibadah ialah melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan
sebaik mungkin. Sebagai contoh, apabila kita mendirikan solat
maka dirikanlah ia dengan bersungguh-sungguh, bertertib dan
sebaik mungkin. Menjaga kesemua tigabelas rukun yang ada dan
memperelokkannya dengan perkara-perkara yang sunat. Setelah itu,
serahkanlah kepada Allah, InsyaAllah akan diterimaNya. Tetapi
kalau solat itu didirikan sambil lewa, main-main dan ala kadar
sahaja maka pastilah ia awal-awal lagi akan ditolak.
Hakikat solat ini juga mesti diamalkan dalam segenap ruang
kehidupan sekiranya kita mahu kehidupan diterima sebagai satu
ibadah. Sebagai contoh, kalau kita seorang pekerja maka
bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, menepati waktu,
berdisiplin, meletakkan komitmen kerja yang tinggi dan mengikut
peraturan yang ada. Barulah kita dilihat sebagai pekerja yang
layak dinaikkan pangkat. Inilah yang dikatakan pekerja
cemerlang. Kerja kita juga diterima Allah sebagai satu ibadah
yang bukan sahaja mendapat ganjaran di dunia tetapi juga di
akhirat. Begitu juga kalau kita seorang pelajar, belajarlah
bersungguh-sungguh dengan memberikan tumpuan dalam kelas,
menyiapkan tugasan pada waktunya, dan rajin mengulangkaji
pelajaran. Barulah belajar itu diterima sebagai ibadah
seterusnya diberkati dan mendapat rahmat dari Ilahi. Keputusan
peperiksaan juga akan cemerlang kerana kita bersungguh-sungguh
dan melakukannya sebaik mungkin.
Mafhum firman Allah dalam al-Quran:
“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang
melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”
Al-Najm 53:39
Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap orang akan mendapat
sekadar apa yang diamal dan diusahakannya. Oleh itu siapakah
yang patut dipersalahkan apabila kita lihat masyarakat Melayu
yang puratanya Islam gagal mencapai kecemerlangan dalam
pendidikan, ekonomi dan sosial? Pastilah yang salah adalah diri
kita sendiri sedangkan Islam mahukan umatnya cemerlang.
Tidak ada penyesalan dalam usaha, yang ada hanyalah redha dan
syukur. Kita menyesal atas kesalahan yang kita lakukan. Kita
kesal atas dosa-dosa kita sama ada kecil atau pun besar. Tetapi
kita tidak boleh menyesali atas apa yang kita perolehi. Sebab
menyesal apa yang diperolehi setelah berusaha itu membuktikan
yang kita tidak memahami apa yang dianjurkan oleh Islam itu
sendiri. Penyesalan berlaku kerana kita sendiri tahu yang kita
tidak menggunakan seluruh potensi yang ada dalam diri kita. Kita
sedar bahawa diri kita boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik
dan layak menerima yang lebih baik juga. Tetapi kalau kita
hayati erti ibadah yang telah dibincangkan awal-awal tadi maka
penyesalan tidak akan berlaku kerana kita telah lakukan yang
terbaik mengikut kemampuan diri kita. Sebagai seorang Islam kita
mesti jelas tentang konsep doa, tawakal, redha dan syukur. Untuk
cemerlang, berusahalah sebaik mungkin, jadikannya ibadah dan
kemudian barulah bertawakal. Dalam berusaha redhalah atas apa
jua cabaran dan ujian. Bersyukurlah atas apa sahaja hasilnya
nanti. Iringi usaha dengan memperbanyakkan doa kepada Allah.
Akhir kata, umat Islam perlu mencontohi kegigihan Nabi Muhammad
s.a.w dalam berusaha memperjuangkan Islam. Apabila bapa saudara
baginda Abu Talib memberitahu akan tentangan hebat yang diterima
dari pemimpin Quraish maka Nabi s.a.w tetap bertegas mengatakan
seandainya matahari diletakkan di tangan kanannya dan bulan
diletakkan di tangan kirinya maka baginda tetap meneruskan
perjuangan beliau, sehinggalah ditentukan Allah sama ada baginda
berjaya atau mati dalam jalan tersebut. Begitulah teguhnya
pendirian Rasulullah s.a.w. yang membawa kepada kecemerlangan
dan keagungan Islam. Hanya dengan memahami Islam dalam ertikata
yang sebenarnya sahajalah maka umat Islam hari ini akan
cemerlang.
|
|
|
Hakcipta terpelihara © Tahun
1998 - 2003
MAP Training and Consultancy Sdn.
Bhd.
172 A & B Jalan Gopeng, 31350 Ipoh
Perak Darul Ridzuan, MALAYSIA
Tel: 05 - 3134622, 3136601
Fax : 05 - 3133409
e-mel : webmaster@maptraining.com.my
|
|