|
Dalam
artikel Bahagian 1 sebelum ini, saya telah membincangkan apa
yang dikatakan matlamat dan bagaimana untuk membentuknya. Kali
ini mari kita lihat pula kenapa matlamat itu perlu. Kajian di
institusi pengajian tinggi menunjukkan 80% pelajar tidak
bermatlamat dan ini adalah punca utama pelajar melayu gagal
bersaing. Menyedihkan tetapi itulah hakikatnya.
Matlamat memudahkan perancangan.
Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda telahpun menetapkan
apa yang mahu dicapai dalam suatu tempoh yang tertentu. Ini
pastinya memudahkan lagi untuk anda merancang tugas anda setiap
hari, setiap minggu dan setiap bulan.
Contoh:
Katakan anda mahu menghabiskan ulangkaji mata pelajaran Sains
sebulan sebelum tibanya peperiksaan PMR. Katakanlah, pelajaran
Sains itu mempunyai 24 tajuk dan anda kini mempunyai 6 bulan
sahaja untuk menghabiskannya (iaitu sehingga sebulan sebelum
PMR. Ini bermakna anda perlu menghabiskan 4 tajuk Sains setiap
bulan, atau lebih kurang 1 tajuk setiap minggu. Sekiranya anda
merancang untuk belajar Sains sebanyak 4 kali seminggu, gunakan
3 sessi yang pertama untuk menghabiskan satu-satu tajuk dan
gunakan sessi ke-4 untuk mengimbas semula tajuk tersebut dan
menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengannya.
Matlamat meningkatkan komitmen diri.
Secara tidak langsung apabila anda punya matlamat maka anda
merasakan suatu komitmen perlu diambil untuk memenuhinya.
Sebab sekiranya anda terlalai untuk mengikut setiap perancangan
yang telah dijadualkan bermakna anda menggadai masa depan anda
sendiri. Mata pelajaran Sains seperti di atas tidak mungkin
dapat dihabiskan hanya sekiranya anda meletakkan komitmen untuk
mengikut jadual harian anda sendiri.
Ingatlah,
manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai komitmen yang
tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya.
Matlamat membantu anda membuat keputusan.
Dalam kehidupan seharian anda pasti menyedari betapa sukarnya
untuk mendisiplinkan diri mengikut jadual harian anda. Malah
mereka yang mampu mengikut jadual harian jumlahnya terlalu
kecil, hanya sekitar 5% sahaja. Yang lain, sama ada langsung
tidak mempunyai jadual harian atau ada jadual tetapi sekadar
hiasan dinding dan tidak pernah diikuti. Kenapa ini berlaku?
Jawapannya ialan sebab kita bukannya robot dan bukannya mesin
yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut masa-masa yang
ditetapkan setiap hari. Malah saya sendiri tidak yakin bahawa
jadual adalah penyebab kejayaan seseorang.
Sebagai manusia
kita tertakluk kepada begitu banyak faktor-faktor luar jangka,
misalnya anda mahu belajar tetapi mak minta jaga adik, ayah
minta pergi kedai. Sebentar lagi ialah waktu untuk buat kerja
sekolah tapi di TV pula ada perlawanan akhir bola sepak.
Semuanya ini antara penyebab kenapa anda sukar mengikut jadual
belajar anda. Tetapi dengan adanya matlamat anda pada bila-bila
masa boleh mengubah perancangan harian anda asalkan ia tidak
meninggalkan kesan atas perancangan jangka panjang anda. Anda
boleh tidak belajar mengikut masa yang ditetapkan tetapi anda
perlu ganti semula dan belajar pada waktu yang lain. Yang
penting belajar tetap belajar. Yang penting setiap tajuk perlu
dihabiskan dalam masa satu minggu seperti perancangan asalnya.
Be flexible!!
Matlamat membantu anda mendapatkan pertolongan.
Apabila anda mempunyai matlamat anda mula mengatur perancangan.
Apabila anda bertindak melengkapkan perancangan, anda mula
menyedari dan mengenali kelemahan-kelemahan yang ada pada diri
anda. Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan. Anda
mungkin perlu berjumpa guru setelah mengetahui ada
bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang
tidak anda fahami. Anda mungkin bertemu rakan-rakan dan
berbincang dengan mereka. Ingat tidak ada rakan yang mahu
membantu anda disaat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk
menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.
Matlamat pengukur kejayaan.
Matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan atau impian
kosong. Ia perlu disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang
diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang
diraih setiap hari. Apakah kayu pengukurnya untuk memastikan
yang setiap hari anda berjaya? Bagaimana anda tahu bahawa anda
telah berjaya? Pengukur kepada kejayaan ialah matlamat yang
telah dirancang. Sekiranya anda telah melakukan tindakan dan
menyelesaikan tugas seperti yang dirancang maka anda dikatakan
sebagai berjaya. Hari demi hari tanpa anda sedari anda mendaki
puncak kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna. Jadi
pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu kecil
sehingga ia tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar
hinggakan anda rasakan mustahil untuk mencapainya. Tetapkan
satu matlamat yang anda begitu bersemangat dan
bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya. |