| Persistensi
(persistency) adalah suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap
sebarang halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam
merealisasikan sesuatu matlamat. Kejayaan sememangnya bukan
sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kalau ia sesuatu yang mudah
maka pastilah tiada manusia gagal. Sedangkan kajian menunjukkan
95% daripada manusia, selepas usia 55 tahun hanya hidup
bergantung kepada duit pencen. Itu bagi yang bekerja kerajaan.
Jauh sekali mereka ketika itu mencapai tahap yang boleh
dikatakan "financially independent". Begitu juga dengan
pelajar, kajian menunjukkan setiap tahun hanya 13% - 14% pelajar
yang mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Bagi yang kini berada di institusi pengajian tinggi pula, 80%
daripada mereka menamatkan pengajian setakat ijazah kelas kedua
atau ketiga.
Fenomena di atas jelas
menunjukkan ramai manusia gagal mencapai yang terbaik
kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka. Ada
sesetengahnya cuba melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa
kecewa hanya setelah beberapa kali sahaja mencuba. Saya
teringat baris kata-kata yang pernah saya terbaca dahulu, "When
the going gets tough, the tough get going", dan satu
lagi, "Quitters never win and winners
never quit". Kata-kata ini telah sekian lama saya
sematkan dalam hati saya dan dijadikan azimat bagi meraih
kekuatan setiap kali berhadapan dengan cabaran atau ketika
berada diambang kegagalan. Dengan sikap persistensi yang tinggi
sesiapa sahaja boleh berjaya. Hanya faktor masa sahaja menjadi
penentu kejayaan itu.
Cuba kita lihat bagaimana
persistennya Nabi Muhammad s.a.w dalam mengembangkan agama Allah
dizaman jahiliyah dahulu hingga terbentuknya sebuah negara Islam
yang digeruni lawan dan dihormati. Tidak seperti rasul-rasul
sebelumnya, Nabi Muhammad s.a.w mengembangkan Islam tanpa
bergantung kepada mukjizat yang mencarik adat selain daripada
Al-Quran. Baginda memulakan syiarnya ketika berusia 40 tahun
setelah menerima wahyu pertama. Hanya kerana mahu membawa
masyarakatnya beriman kepada Allah, baginda telah diejek,
dicemuh, dilontar dengan batu. Pengikut-pengikutnya diseksa.
Keluarga mereka didera dan dihina. Semuanya ini sedikitpun
tidak menjejaskan kemahuan baginda untuk melihat Islam tegak
dibumi Allah ini. 13 tahun dimekah dan 10 tahun di Madinah
adalah satu masa yang bukan pendek. Sikap persistensi
sebeginilah yang perlu ada sekiranya seseorang itu mahukan
kejayaan. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya membuktikan
bahawa kebolehan seorang manusia cukup luar biasa dan mampu
menggoncang dunia selagi tidak lari dari matlamat perjuangan,
rela berkorban dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya.
Kenapa mesti berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh sahaja
memberikan kemenangan mudah kepada rasulnya? Sebabnya untuk
manusia selepas itu menjadikan kehidupan dan perjuangan itu
suatu tauladan. Salah satu darinya ialah sikap gigih dan tidak
putus asa dari mengharap kemenangan dari Allah.
Seorang
jurujual berjaya cukup faham dengan teori persistensi ini.
Fikiran mereka telah diprogramkan bahawa untuk melakukan satu
jualan yang berjaya mereka perlu menemui 10 orang pelanggan
berpotensi. Dengan fahaman matematik yang cukup mudah ini
mereka berusaha tanpa kenal erti jemu. Setelah satu kegagalan
mereka merasa lebih gembira kerana mereka cuma tinggal 9 orang
lagi sebelum mendapat kejayaan. Mereka terus berusaha dan
kejayaan jualan pertama itu mungkin terletak pada cubaan yang
ke-5, ke-7 atau ke-10. Meski pun mereka gagal membuat jualan
dalam 10 cubaaan pertama, mereka tetap tidak putus asa. Sebab
kemungkinan pula dalam cubaan ke-11 atau ke-12 kejayaan mula
menjelma.
Sejarah memang membuktikan
bahawa hampir semua nama-nama besar dan terkenal adalah mereka
yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan kali. Edison
mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali. Kolonel
Sanders cipta kejayaan dengan resepi ayam gorengnya setelah
mencuba 1009 kali. Nelson Mandela menjadi presiden Afrika
Selatan setelah dipenjarakan hampir sesuku abad. Goodyear
mencuba hampir 10 tahun sebelum menemui kaedah untuk
mengkomersilkan getah. Boon Siew, walau pun tidak tahu membaca
dan menulis mampu menjadi jutawan dan memberikan peluang
pekerjaan kepada ribuan pekerja hanya kerana persistensinya.
Kalau telah jelas, dari
kisah-kisah di atas, bahawa persistensi adalah senjata utama
menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu cepat putus asa?
Dalam kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman bagi mereka yang
persisten tetapi sebaliknya adalah kematian bagi mereka yang
putus asa. Kalau anda seorang pelajar, kini soallah diri anda
sendiri, adakah anda telah mencuba ribuan kali untuk
menyelesaikan satu soalan matematik atau sains yang mencabar?
Ratusan kali? Puluhan kali? Jawapannya pastinya tidakk... anda
cuma mencuba beberapa kali dan akhirnya putus asa. Kalau inilah
cara anda bagaimana mampu anda letakkan nama anda sebaris dengan
mereka yang telah berjaya?
Air yang menitik secara
berterusan itu mampu menghakis batu. Parang yang diasah secara
berterusan itu akan tajam. Begitulah juga dengan diri manusia.
Oleh itu jangan putus asa dalam usaha. Anda tidak boleh gagal
walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan setiap kegagalan itu
satu pengajaran untuk memperbaiki diri, untuk mengubah
perancangan, untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu
milik anda kerana kuasa persistensi yang ada dalam diri.
Sekian.
|