| Kejayaan
bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Ia perlu bermula
dalam fikiran sebelum ia menjadi kenyataan. Terdapat tiga
perkara penting yang perlu diketahui sebelum sesuatu kejayaan
itu mampu direalisasikan.
Bertanggung jawab sepenuhnya. Yang pertama, anda
perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap siapa anda, apa yang
anda capai dan dimana anda berada hari ini. Anda perlu
menerimanya, walaupun pahit, tanpa menyalahkan orang lain dan
persekitaran. Sekiranya anda tidak mencapai apa yang anda
inginkan maka andalah yang bersalah, kalau bukan anda maka siapa
lagi? Maknanya kalau anda tidak mengawal haluan hidup anda maka
orang lain akan menggunakan segala kebolehan dan potensi yang
ada pada diri anda. Hanya dengan anda mengakui hakikat yang
penting ini, maka barulah anda boleh menjelajah kehidupan ini
dengan lebih berkeyakinan. Anda tahu yang anda punya pilihan
lain, selain dari apa yang anda lakukan setiap hari. Ingat,
"Hanya anda sahaja yang boleh mengubah hidup anda, bukan orang
lain".
Mari kita tinjau bagaimana
Kolonel Sanders, orang yang mencipta resepi ayam goreng Kentucky
Fried Chicken mencipta nama dan kejayaan. Kol. Sanders bersara
pada usia 65 tahun. Ketika menerima duit pencen pertamanya,
Kol. Sanders merasa cukup kecewa. Beliau tidak menyalahkan
orang lain kecuali dirinya terhadap jumlah kecil yang
diperolehinya. Beliau seterusnya memutuskan untuk memajukan
resepi ayam goreng milik keluarganya kepada sebuah restoran.
Malangnya, hasrat beliau ditolak. Adakah beliau berputus asa??
Tidakkk...
beliau terus mengubah resepinya dan berjumpa dengan lebih ramai
orang... orang ke-10 kata tidakk.... orang ke-100 kata
tidakkkk... orang ke-1000 juga kata tidakkk... Tetapi orang
ke-1009 kata ... "YA..RESEPI ANDA BAGUS". Sembilan tahun
kemudian, setelah bisnesnya maju, Kol. Sanders telah menjual
bisnesnya dengan harga US$2,000,000. Itulah ganjarannya bagi
orang yang gigih dan sabar. Ganjaran bagi mereka yang mula
mengubah haluan hidup setelah menyedari bahawa dialah yang
bertanggung jawab atas siapa dirinya hari ini; dan dialah juga
yang bertanggung jawab untuk memperbaiki pencapaiannya. Tanpa
ciri-ciri ini Kol. Sanders mungkin merasa cukup sekadar menerima
habuan pencen bulanan semata-mata.
Anda juga pasti mahukan
kejayaan. Adakah anda telah berusaha ribuan kali seperti cerita
Kolonel Sanders di atas??? Jauh panggang dari api. Ramai
pelajar sekolah yang apabila menyelesaikan masalah matematik,
sains dan lain-lain yang agak susah, hanya mencubanya setakat
beberapa kali sahaja. Tidak sampai pun 10 kali. Inikah cara
usaha anda yang impikan kejayaan? Ingatlah setiap masalah itu
datang dengannya penyelesaian. Setiap cabaran itu datang
dengannya habuan dan pulangannya. Teruslah berusaha... bukan
setakat sekali, sepuluh kali..malah ratusan dan ribuan kali...
Sedikit perbezaan membawa hasil besar. Yang kedua,
untuk mendapat sepuluh kali ganda kejayaan daripada orang lain
bukanlah bermakna anda perlu sepuluh kali lebih gigih, lebih
kuat atau lebih bijak dari mereka. Anda hanya perlu berbeza
sedikit daripada mereka sekeliling anda. Berbeza cara fikir,
berbeza cara bertindak dan berbeza dalam menerima kenyataan
hidup. Fokuskan minda anda untuk lebih baik sedikit daripada
manusia biasa. Ini membolehkan anda memperolehi pencapaian yang
luarbiasa, yang tidak terfikir oleh manusia biasa.
Cuba
perhatikan peristiwa dibawah ini. Dalam satu perlumbaan kuda,
kuda yang memenangi tempat pertama akan mendapat wang tunai
RM100,000 ringgit. Kuda ditempat kedua pula mendapat RM20,000
ringgit. Kuda ditempat pertama mendapat ganjaran lima kali
ganda lebih besar dari kuda yang kedua. Adakah ini juga
bermakna kuda pertama 5 kali ganda lebih laju dari kuda yang
kedua? Atau kuda pertama berlatih 5 kali ganda lebih
bersungguh-sungguh dari kuda kedua? Atau kuda yang pertama
ditunggangi oleh orang yang 5 kali lebih mahir dari kuda yang
kedua? Jawapannya pasti sahaja TIDAK. Kuda pertama mungkin
mendahului kuda kedua sekadar satu langkah sahaja ke garisan
penamat. Ada ketikanya rakaman video perlu dilihat untuk
menentukan pemenang. Mungkin kuda pertama mendahului seinci
sahaja dari kuda kedua. tetapi seinci ini memberikan pulangan 5
kali ganda lebih besar!
Begitulah juga dalam hidup
ini. Anda perlu berusaha lebih sedikit dari orang sekeliling
anda untuk mencapai kejayaan dalam hidup.
Persepsi membentuk diri. Yang ketiga ialah persepsi
anda. Iaitu bagaimana anda melihat sesuatu yang berlaku terhadap
anda dan disekeliling anda. Kehidupan bukanlah nasib tetapi
lebih kepada pilihan. Anda boleh memilih untuk senang atau
susah. Apabila anda memilih untuk hidup senang, dan sanggup
berkorban untuk kesenangan maka tiada sesiapa pun yang boleh
menghalang kehendak anda. Persepsi anda terhadap sesuatu
natijah pastinya mempengaruhi emosi anda. Seterusnya ia akan
mempengaruhi tindakan anda dan seterusnya pula menentukan hasil
iaitu natijah dari tindakan tersebut. Turutan ini boleh dilihat
dalam carta alir dibawah.
Dalam
rajah ini, emosi anda terhadap apa sahaja yang berlaku terhadap
anda bergantung kepada cara fikir yang terbentuk secara
spontan. Apa perasaan anda apabila rakan anda tidak menunaikan
janjinya untuk hadir dalam satu mesyuarat yang cukup penting?
Saya yakin anda akan marah dan kecewa. Ini disebabkan anda
fikir bahawa rakan anda tidak boleh diharap. Tidak berpegang
pada janji. Suka menyusahkan orang lain dan sebagainya. Tetapi
cuba ubah cara fikir anda sekarang. Cuba fikirkan,
jangan-jangan ada kemalangan. Jangan-jangan ada yang jatuh
sakit atau kematian. Bagaimana emosi anda sekarang? Adakah
anda masih marah dan kecewa? Pasti tidak. Emosi anda kini
berubah menjadi risau dan bimbang. Tindakan yang anda ambil
bergantung kepada emosi anda. Emosi yang terbentuk pula
dipengaruhi oleh cara fikir anda. Akhirnya hasil yang anda
perolehi sebenarnya tidak lain dan tidak bukan, bergantung
kepada cara fikir atau persepsi anda. Oleh itu, mulai saat ini
mulalah pilih cara fikir yang menguntungkan anda. Yang
membuatkan anda kelihatan hebat. Islam sendiri melarang kira
berburuk sangka dan banyak bersabar. Ingat setiap apa yang
berlaku mengandungi hikmah Allah yang tersembunyi. Janganlah
lagi menjadi orang yang bertindakbalas secara spontan kepada
keadaan dan persekitaran. Sebab tindakbalas spontan ini
kebiasaannya merugikan kehidupan anda.
Ingatlah,
kehidupan yang tergambar dalam kotak fikiran anda adalah
kehidupan yang akan anda tempuhi. Ada orang tetap bersemangat
walaupun berpuluh kali gagal sebab mereka tahu setiap kegagalan
itu datang bersamanya pengajaran yang cukup bermakna. Ubah cara
fikir anda. Ubah perancangan dan tindakan anda. Setiap kali
gagal, cuba SEKALI LAGI menggunakan pendekatan baru.
Ingat, Kolonel
Sanders gagal lebih seribu kali. Apa yang anda perlu lakukan
ialah berusaha lebih sedikit daripada manusia biasa untuk
menjadi manusia luar biasa. Seterusnya mencapai kejayaan
berlipat kali ganda seperti kisah lumba kuda tadinya.
|