|
[ Laman
Utama ] [ Korporat ] [
Perkhidmatan ] [Forum
Siber ] [ e-Majalah ] [
Pautan ]
|
Sikap Penentu Kejayaan
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku
Mohamad, Ph.D
PERHATIAN: Hakcipta dituntut oleh MAP
Training and Consultancy Sdn. Bhd. Anda tidak boleh mencetak atau mengedar
bahan-bahan dari laman-map ini sebelum terlebih dahulu mendapat kebenaran dari
kami. Bahan-bahan ini adalah untuk tatapan anda sebagai satu sumber ilmu
pengetahuan. Sebarang pertanyaan atau permohonan untuk mendapat kebenaran
boleh dibuat melalui emel.
|
Lebih kurang
30 tahun yang lalu, iaitu 1974, masyarakat melayu telah gempar
dengan lahirnya seorang anak melayu yang telah mampu membaca
akhbar pada usia tiga tahun. Hampir kesemua media membuat
liputan. Hari ini, perkara sebegini bukanlah sesuatu yang
mengkagumkan. Dengan adanya pelbagai kemudahan dan teknologi
multimedia, ramai anak-anak yang boleh membaca pada usia
sebegini. Tetapi pada 30 tahun yang lalu, diawal 70an pastilah
kebolehan seperti ini dikira sebagai menakjubkan. Lebih-lebih
lagi anak melayu ini hanya anak orang kampung dan tinggal di
luar bandar. Prof. Diraja Ungku Aziz pernah membawa anak ini
balik ke tempatnya untuk diberikan ujian IQ. Pengarah Filem
Dato Jins Shamsudin pula menjadikannya pelakun kecil. Begitulah
hebatnya anak yang bernama Mohd. Sohkeri Hadapi Aziz ini.
Melihat kepada kebolehan dan kehebatan anak maka tidak hairanlah
kalau hari ini beliau menjadi doktor atau pensyarah muda.
Tanggal 22 November 1997 masyarakat melayu sekali lagi
digemparkan. Kali ini oleh peristiwa seorang anak muda yang
bekerja sebagai pembuat roti canai telah didakwa kerana memiliki
enam paket kecil ganja. Beliau telah didakwa dibawah Seksyen
Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983) dan dijatuhkan hukuman
penjara selama 12 bulan.
Apa kaitannya antara dua cerita yang dinyatakan di sini?
Kaitannya ialah inilah orangnya yang menjadi tajuk perbualan 30
tahun yang silam. Inilah dia Mohd. Sohkeri yang pernah
dibanggakan dulunya. Beliau jauh sekali dari dikatakan berjaya.
Malah apa yang beliau lakukan hari ini langsung tidak
menggambarkan kebolehan sewaktu kecil beliau. Rendahkah IQ
lelaki ini? Tidak sama sekali. Tidak berkebolehankah lelaki ini?
Jauh sama sekali. Silapnya ialah kerana ia tidak pernah terdedah
kepada ilmu kecemerlangan diri dan pembentukan sikap pula tidak
menguntungkan diri serta masa depannya.
Pastinya lebih ramai lagi.
Saya yakin, kalau perkara seperti ini boleh berlaku kepada
seorang individu, ia juga telah berlaku, sedang berlaku dan akan
terus berlaku kepada ramai lagi manusia lain. Berapa ramai lagi
agaknya yang senasib beliau. Kita hanya mendengar cerita Mohd.
Sohkeri. Bagaimana pula dengan begitu ramai yang mungkin waktu
kecilnya cemerlang kini tidak mampu meneruskan kecemerlangan
ini. Saya sendiri telah menemui begitu ramai pelajar yang
mendapat 5A dalam UPSR, atau 8A dalam PMR, akhirnya kecundang
dalam SPM. Persoalannya adakah mereka yang gagal dalam kehidupan
hari ini selayaknya gagal? Atau mereka tidak tahu yang
sebenarnya dalam diri mereka ada sebutir permata yang tinggi
nilainya dan belum digilap. Inilah yang dikatakan sikap. Tidak
ada ertinya IQ yang tinggi serta kebolehan yang luarbiasa tetapi
malas berusaha, tangguh kerja, main-main dan ambil mudah. Mereka
ini berpenyakit tetapi tidak menyedarinya. Kalau AIDS dan JE
boleh membunuh diri, penyakit sikap ini pula boleh membunuh
harapan dan masa depan.
Bagaimana sikap terbentuk?
Sikap adalah sesuatu yang dipelajari melalui pengamatan,
pendengaran dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah
tindakan dan tingkahlaku diri berlandaskan cara fikir seseorang
individu. Dua orang yang mempunyai cara fikir yang berbeza akan
bertindakbalas secara berbeza juga terhadap sesuatu peristiwa
atau persekitaran. Cara fikir mengubah tingkah laku seseorang
dan mempengaruhi sikap seseorang. Cara fikir sebenarnya sesuatu
yang dipelajari dan ditiru melalui sumber-sumber seperti:
Orang sekeliling - Ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, idola
Pengaruh media - TV, radio, internet
Bahan bacaan - novel, majalah, akhbar, buku-buku.
Persekitaran - Agama, bangsa, kebudayaan
Peristiwa silam - besar atau kecil
Pengalaman
Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan bapa borek anak rintek.
Kalau bapa jenis panas baran maka anaknya berkemungkinan juga
demikian. Tetapi tidak pula semua anak berkelakuan serupa
seperti bapa. Mungkin anak yang lain pula cukup mengkagumi
gurunya dan kebetulan pula guru seorang yang penyabar maka sikap
sabar ini mempengaruhi anak. Maka sikap panas baran bapa tidak
ditiru oleh anak ini kerana dia dapat menilai bahawa sikap itu
tidak menguntungkan sesiapa. Sebaliknya, pengaruh guru lebih
besar atas diri anak ini dalam dalam pembentukan sikapnya.
Jadi seorang anak membesar dengan meniru tingkah laku orang
lain. Sikap-sikap negatifnya mungkin diperolehi daripada
gabungan pelbagai sumber. Pemarah macam ayah, boros macam emak,
malas macam abang, pakaian macam artis, buang masa macam
rakan-rakan dan sebagainya. Begitu juga dengan sikap positifnya
juga ditiru dari orang lain. Berani macam ayah, bercakap benar
macam emak, suka mencuba macam abang, gigih macam artis pujaan
dan hormat ibu bapa macam rakan.
Satu kelemahan otak ialah ia menerima segala maklumat yang
dilihat, dirasa dan didengar ini, tanpa sekatan sama ada positif
atau negatif. Apabila mesej yang sama diterima
berulang-ulangkali maka sedikit sebanyak mula terbentuk
kepercayaan dalam diri bahawa tidak salah untuk menerima pakai
atau meniru cara orang lain ini. Keadaan ini berlaku diluar
kesedaran seseorang. Ia berlaku dalam tempoh masa yang panjang
sebelum menjadi lazim dalam pemikiran. Setelah ia menjadi
kebiasaan segala tindak balas kita menjadi spontan dan kerap
kali tindakan kita diluar kawalan diri.
Bolehkah sikap diubah?
Sikap yang negatif boleh diubah kepada positif hampir serta
merta. Misalnya anda membonceng motosikal rakan. Rakan anda
membawa motosikal dengan laju dan gopoh-gapah. Anda tumpang
seronok. Akibatnya berlaku kemalangan dan rakan anda mati
ditempat kejadian. Ketika itu juga anda berkemungkinan besar
mula mengubah sikap anda apabila membawa motosikal. Walau pun ia
berlaku hanya sekali dalam kehidupan, tetapi pengalaman tersebut
cukup menyakitkan dan menyedihkan. Ia mengubah cara fikir anda
serta merta. Sikap anda juga berubah serta merta. Satu peristiwa
mengubah segalanya.
Sebenarnya untuk berubah anda tidak memerlukan masa yang
panjang. Masa yang panjang sebenarnya untuk kita mengumpul
maklumat dan membina keyakinan serta kepercayaan sememangnya
perubahan diri itu sesuatu yang mesti dilakukan. Setelah anda
membuat keputusan tentang perlunya berubah maka perubahan
berlaku serta merta. Masa yang panjang ini sebenarnya boleh
disingkatkan dengan syarat anda mendapatkan maklumat yang
diperlukan untuk menyokong kepercayaan anda untuk berubah itu
sekarang. Anda perlu mendapatkan maklumat dari orang yang boleh
memberikannya kepada anda. Ramai yang tidak menyedari bahawa
sikap ibarat pakaian yang boleh dipilih untuk disarungkan
kebadan. Bagaimana mudahnya menukar pakaian begitu juga mudahnya
mengubah sikap. Dengan syarat tahu rahsia dan kaedahnya.
Untuk berubah sikap, setiap kepercayaan dan pegangan hidup yang
negatif perlu digugat, dicabar, dibenci dan kemudiannya
digantikan dengan alternatif yang baru. Proses ini lebih mudah
dilakukan sekiranya dibantu oleh seseorang yang pakar dalam
bidangnya. Perhatikan sejenak, adakah sikap anda selama ini
membolehkan anda menggunakan sepenuhnya potensi diri yang ada
pada diri anda? Setiap kali guru memberikan markah ujian, cuba
tanyakan diri anda, adakah ini yang terbaik boleh dilakukan oleh
anda? Kalau tidak, apa yang menghalang anda melakukan yang
terbaik? Tiada yang menghalang kecuali diri anda sendiri. Kalau
anda tidak mengubah sikap dan cara fikir anda sekarang, anda
juga pastinya mencapai sesuatu yang serupa 5 - 10 tahun yang
akan datang. Yang berubah ketika itu mungkin lokasi anda,
rakan-rakan anda dan fizikal luaran anda tetapi dalamnya tetap
sama. Kalau sekarang anda gagal di sekolah maka 5-10 tahun akan
datang anda bakal gagal pula di alam pekerjaan. Sebab itulah
anda perlu berubah, dan perubahan itu perlu dilakukan sekarang!
Ingat, Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya, "tidak akan
aku ubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka ubah apa yang
ada dalam diri mereka sendiri"
|
|
|
Hakcipta terpelihara © Tahun
1998 - 2003
MAP Training and Consultancy Sdn.
Bhd.
172 A & B Jalan Gopeng, 31350 Ipoh
Perak Darul Ridzuan, MALAYSIA
Tel: 05 - 3134622, 3136601
Fax : 05 - 3133409
e-mel : webmaster@maptraining.com.my
|
|