|
[ Laman
Utama ] [ Korporat ] [
Perkhidmatan ] [Forum
Siber ] [ e-Majalah ] [
Pautan ]
|
Atasi Sikap Bertangguh
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku
Mohamad, Ph.D
PERHATIAN: Hakcipta dituntut oleh MAP
Training and Consultancy Sdn. Bhd. Anda tidak boleh mencetak atau mengedar
bahan-bahan dari laman-map ini sebelum terlebih dahulu mendapat kebenaran dari
kami. Bahan-bahan ini adalah untuk tatapan anda sebagai satu sumber ilmu
pengetahuan. Sebarang pertanyaan atau permohonan untuk mendapat kebenaran
boleh dibuat melalui emel.
|
Kita bertemu
lagi dalam Siri Rahsia Kecemerlangan Diri kali ini. Tanpa
disedari, sudah hampir setahun saya menjadi penulis di Majalah
Cermin ini. Dalam artikel kali ini saya ingin membincangkan
tentang satu sikap yang ada dalam setiap diri kita dan menjadi
penyebab kepada kegagalan kita. Iaitu sikap bertangguh.
Bertangguh maknanya kita dengan sengaja melambatkan atau tidak
menyiapkan satu-satu kerja, aktiviti atau tugasan yang
sememangnya penting atas alasan yang tidak penting. Sebaliknya
kalau sesuatu kerja itu terpaksa diketepikan seketika kerana ada
sesuatu yang lebih penting lagi yang mesti disiapkan, maka itu
bukanlah bertangguh. Malangnya, ramai diantara kita atas alasan
yang remeh temeh melambat-lambatkan sesuatu pekerjaan.
Mari kita renungkan seketika, kalau anda seorang pekerja di
pejabat, apa agaknya kerja semalam yang anda tahu penting tetapi
tidak dibuat. Mungkin ada borang yang perlu dilengkapkan dan
dihantar; atau panggilan kepada pelanggan yang belum dibuat;
atau projek yang belum disiapkan malah mungkin belum dimulakan;
atau khidmat selepas jualan yang tidak dibuat meskipun
berkali-kali anda ingatkan diri anda ia adalah penting.
Bagaimana pula dengan urusan dirumah? Anda mungkin dah lama mahu
mengecat rumah tetapi sehingga kini masih belum siap; atau
menyapu lantai, menggosok baju, mengelap tingkap, mencuci bilik
air. Bagaimana pula dengan urusan peribadi anda? Anda tahu sudah
tiba waktunya anda menghubungi ibu bapa di kampung; atau emel
sahabat yang tidak berbalas dan SMS yang belum dijawab. Anda
tahu berat badan mula bertambah dan sudah sekian lama anda mahu
turunkan berat badan dengan menjaga diet dan melakukan senaman
harian. Sudahkah ia dilakukan? Rambut yang semakin panjang
sudahkah dipotong? Kalau direnungkan dengan ikhlas maka kita
akan dapati terlalu banyak yang mahu dilakukan dan terlalu
sedikit masa yang ada. Kalau tahu masa semakin sedikit kenapa
dihabiskan untuk perkara-perkara yang tidak termasuk dalam
senarai penting kita? Iaitu senarai yang kita tahu mesti
dilakukan segera. Atau anda sebenarnya tidak pernah buat satu
senarai pun selama ini? Segalanya hanya dirancang dalam kepala
maka tidak hairanlah kalau anda lupa.
Apabila kita bertangguh, kita akan rasa tertekan kerana masa
semakin suntuk dan kerja semakin menimbun. Akibat dari rasa
tertekan ini ialah kemurungan serta emosi yang tidak menentu.
Kesihatan juga turut terganggu dan semua ini pasti menjejaskan
produktiviti. Hasilnya, kita menjadi orang yang gagal dalam
kehidupan sama ada dari kerjaya, akademik, kesihatan, ibadah,
kewangan dan sebagainya.
Kenapa Wujudnya Sikap Bertangguh?
Antara faktor yang menjadi penyebab tangguh ini ialah:
-
Pengurusan yang lemah,
sama ada dari segi pengurusan diri, masa, sumber dan
tugas.
-
Takut, sama ada takut
kepada kegagalan mahu pun takutkan kejayaan. Ada
orang takut berjaya kerana kejayaan bermakna
tanggungjawab lebih besar, masa makin sibuk dan
tiada masa untuk perkara lain, ramai orang yang akan
dengki dan sebagainya. Ada pula yang takutkan
kegagalan kerana bimbang dikritik, dimarahi,
dipandang rendah, takut kerja tidak cukup bagus dan
sebagainya. Walau apa sekalipun alasannya, 90%
daripada apa yang disangkakan sebenarnya tidak akan
berlaku.
-
Terlalu mahukan
kesempurnaan. Ada ketikanya sesuatu perancangan itu
tertangguh perlaksanaannya kerana kita mahukannya
terlalu sempurna. Begitu banyak masa dan tenaga
dibazirkan dengan mengkaji keburukan-keburukan yang
mungkin akan terjadi.
-
Masalah fizikal.
Masalah kesihatan dan tenaga yang kurang boleh
mendorong perasaan malas. Ini membuatkan banyak
kerja-kerja gagal disempurnakan kerana diri tidak
produktif.
-
Masalah sikap. Sikap
adalah penyumbang paling utama kepada masalah
tangguh. Apabila kita bersikap sambil lewa, ambil
mudah dan tiada komitmen serta disiplin terhadap
diri kita dan tugas-tugas yang diserahkan maka
segalanya pasti akan tertangguh.
|
Bagaimana Mengatasinya?
Tangguh bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan. Ia
bukannya perkara biasa dalam kehidupan yang tidak dapat dielak.
Sebaliknya ia adalah kebiasaan atau tabiat yang tertanam dalam
diri kita kerana kita tidak mendidik diri dengan amalan-amalan
kecemerlangan. Berikut dinyatakan beberapa perkara yang boleh
dilakukan untuk mengatasi masalah umum ini:
-
Agih-agihkan tugas.
Pastikan tugasan bersesuaian dengan tenaga dan masa
yang diperuntukkan. Salah satu penyebab kepada
tangguh ialah rasa kerja yang mahu dibuat itu
terlalu sukar atau terlalu banyak.
Kalau terlalu banyak, agih-agihkan tugas kepada
bahagian yang lebih kecil. Kalau terlalu sukar,
dapatkan seseorang yang boleh membantu. Tanya
mereka! Jangan jadi orang yang berat mulut. Dalam
dunia ni tiada sesiapa pun yang akan membantu kita
tanpa diminta.
-
Buat senarai tugas
atau ‘TO DO LIST’.
-
Dapatkan satu diari,
nak canggih lagi pakai ‘Palmtop’. Malah telefon
bimbit pun dah boleh untuk masukkan aktiviti kita.
Sebenarnya, jangan bazirkan duit dengan
membelanjakan wang membeli diari atau organizer yang
mahal-mahal. Ramai orang yang saya perhatikan,
ketika semangatnya datang, mereka keluarkan duit
untuk tujuan ini tetapi akhirnya sia-sia juga.
-
Cari cara untuk
ingatkan kita. Cth. Jam loceng, komputer, digital
organizer dll.
-
Sediakan segala
keperluan lebih awal. Cth. Nak ambil pemadam, hanya
kerana itu kerja tertangguh 30 minit. Nak ke bilik
air dan sebagainya. Kita kena ingat, kita dibayar
gaji untuk bekerja 8 jam sehari jadi buatlah yang
terbaik!
-
Tiada dua orang yang
serupa. Lain orang lain masa yang mana dia akan
paling produktif. Oleh itu kenali masa produktif
kita dan gunakan masa ini untuk siapkan kerja-kerja
penting kita.
-
Tukar carafikir atau
‘mindset’ kita.
-
Just do it! Jangan
peduli apa orang lain akan kata. Ia adalah soal masa
depan kita. Percaya cakap saya, 90% daripada
sangkaan-sangkaan dan kebimbangan kita itu
sebenarnya tidak akan berlaku!
-
Belajar dari
kesilapan. Mula melangkah apabila sudah ada
perancangan dan jangan tunggu untuk segala-galanya
sempurna sebab ketidaksempurnaan itu sememangnya
sifat semulajadi setiap hasil ciptaan manusia.
Contoh:
TV hitam putih wujud sebelum ada TV warna.
Telefon bimbit besar sebelum ada yang kecil molek.
Orang yang mencipta dan menjual barang-barang ini
tidak menunggu segalanya sempurna. Mereka mengaut
keuntungan awal dan menggunakan keuntungan itu untuk
melakukan penyelidikan dan seterusnya menghasilkan
barangan yang lebih baik
-
Senaman secara
konsisten, 20 minit sehari, 3x seminggu.
-
Jaga diet atau
pemakanan. Makan makanan yang kurang lemak dan yang
tinggi kandungan fibernya seperti buah-buahan,
kekacang dan sayur-sayuran. Makan roti yang ada
tertulis perkataan ‘high fibre’.
-
Rehat yang cukup -
Lakukan meditasi atau rileks. Itu gunanya kita lepas
solat sambung berzikir dan berwirid.
-
Mulakan sedikit,
bertatih sebelum berlari. Tidap perlu untuk
menghabiskan apa yang mahu dilakukan itu serentak.
Manusia mudah rasa jemu dan bosan. Oleh itu,
lakukanlah sedikit tetapi konsisten. Pelbagaikan
aktiviti dan jangan fokus hanya kepada satu tugas
semata-mata.
-
Ganjari diri sendiri
setiap kali dapat menyelesaikan sesuatu tugas atau
pekerjaan.
|
|
|
|
Hakcipta terpelihara © Tahun
1998 - 2003
MAP Training and Consultancy Sdn.
Bhd.
172 A & B Jalan Gopeng, 31350 Ipoh
Perak Darul Ridzuan, MALAYSIA
Tel: 05 - 3134622, 3136601
Fax : 05 - 3133409
e-mel : webmaster@maptraining.com.my
|
|