|
[ Laman
Utama ] [ Korporat ] [
Perkhidmatan ] [Forum
Siber ] [ e-Majalah ] [
Pautan ]
|
Cara iblis menyesatkan manusia amat canggih
|
PADA zaman ini yang dianggap sebagai serba canggih dari segi
teknologi maklumat dan sebagainya, masih ada yang berhujah
bahawa di dalam memahami ajaran Allah, akal tidak boleh
digunakan. Mereka mengajar dan percaya bahawa apa yang perlu
ialah beriman (percaya) secara buta tuli. Dalam erti kata lain,
mereka sebenarnya mengajar iman tanpa asas ilmu daripada Allah.
Dalam keadaan di mana kita digalak untuk tidak menggunakan akal
dalam memahami ajaran Allah, maka mudahlah guru-guru agama palsu
untuk memenuhi hati kita dengan ajaran yang jauh menyimpang
daripada Addin Allah. Sikap menidakkan sama sekali penggunaan
akal adalah sikap yang dimiliki oleh golongan jahiliah.
Kita boleh mengambil iktibar daripada firman Allah yang
bermaksud:
³Dan apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa yang telah
diturunkan Allah. Mereka menjawab: (Tidak) tetapi kami hanya
mengikuti apa yang kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang
kami. (Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang
mereka itu tidak mengetahui sesuatu apa pun dan tidak mendapat
petunjuk?² (Al-Baqarah:170)
Dalam ayat di atas, apabila Rasulullah menyampaikan ajaran
Allah, ada satu golongan yang tanpa kritis terhadap agama yang
dianuti oleh mereka, menolak ajaran yang disampaikan oleh
baginda. Mereka enggan untuk menilai ajaran yang disampaikan itu
dengan memikirkan sama ada agama anutan nenek moyang mereka itu
warisan palsu.
Golongan jahiliah itu juga menyangka bahawa mereka menyembah
Tuhan, walhal agama mereka dipenuhi pelbagai kepercayaan yang
tidak masuk akal serta bersifat syirik. Mereka enggan menerima
ajaran yang dibawa oleh Rasulullah kerana setia kepada agama
warisan daripada nenek moyang mereka.
Namun dalam ayat itu, Allah mengajak kita berfikir dengan soalan
yang
bermaksud: ³Walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui
sesuatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk?²
Kumpulan ini berpegang teguh kepada tradisi dan upacara agama
mereka dan menyangka bahawa upacara itu adalah sesuatu yang
suci. Pegangan dan tindakan seperti itu mudah berlaku apabila
kita enggan menggunakan akal bagi memikirkan inti ajaran Allah
dan Rasul-Nya.
Pada masa sama, kaedah yang digunakan oleh iblis dalam
menyesatkan manusia amat halus dan canggih. Sebagai contoh,
kerap kali guru agama palsu akan menyatakan bahawa ajarannya
bertujuan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Maka, mereka
yang memang jahil mengenai ajaran Allah yang terkandung di dalam
al-Quran akan menuruti kata-kata guru agama palsu itu dengan
Œkeikhlasan¹ yang lahir daripada kejahilan sengaja.
Kejahilan ini dikatakan sengaja apabila seorang itu berani
dengan sombongnya enggan membaca al-Quran untuk mengetahui apa
yang difirmankan oleh Allah di dalamnya. Kita boleh mengambil
iktibar daripada firman Allah yang bermaksud:
³Ingatlah, hanya kepunyaan Allahlah agama yang bersih (daripada
syirik). Dan orang yang mengambil pelindung selain Allah
(berkata): Kami tiada menyembah mereka melainkan supaya mereka
mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.
Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara kamu mengenai apa
yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi
petunjuk kepada orang yang pendusta dan sangat ingkar.²
(Az-Zumar:3).
Ayat di atas jelas menerangkan keadaan di mana manusia dibawa
untuk menyekutukan Allah dengan alasan tindakan seperti ini akan
mendekatkan diri kepada Allah. Sebaliknya, jelas ajaran Allah
ialah cara hidup yang berlandaskan prinsip tauhid semata-mata.
Hanya Allah saja yang berhak disembah, bukan berhala berbentuk
patung, manusia, jin, ego dan sebagainya.
Hakikatnya ialah selagi orang seperti itu tidak mahu berusaha
menilai apa yang mereka lakukan, selagi itulah mereka mudah
melakukan perkara yang tidak masuk akal serta bertentangan
dengan Addin Allah.
Selagi enggan beriman kepada al-Quran melalui usaha memahaminya,
selagi itulah mereka akan disesatkan dengan kitab tulisan
manusia. Manusia yang berniat jahat dan ingin memalingkan
manusia lain daripada sujud hanya kepada Allah akan menggalakkan
keimanan (kepercayaan) buta tuli.
Apabila kita tidak menggunakan akal, kita mudah menerima apa
saja yang diajar sebagai agama terutama apabila si guru itu
bercakap mengenai perkara yang ghaib. Maka manusia rela untuk
mendera diri dengan pelbagai cara, seperti memukul diri sendiri,
melukakan badan dan sebagainya, kononnya bertujuan untuk
Œmendekatkan diri dengan Allah.¹
Begitu juga apabila kita dilatih untuk tidak menggunakan akal,
maka kita mudah dibawa ke alam fantasi atas nama agama. Iblis
amat kreatif dalam memujuk manusia ke jalan yang dimurkai Allah.
Dengan menggunakan fantasi, pelbagai cerita karut dicampur aduk
dengan perencah kebenaran sehingga si guru agama itu diangkat
sebagai wali dan segala yang diucapkannya diterima sebagai
kata-kata keramat.
Apabila penggunaan akal tidak dibenarkan, amat mencabar untuk
berbincang perihal kebenaran dengan orang seperti ini.
Berbincang dengan orang seperti ini adalah seperti berbincang
dengan orang yang baru habis hisap candu kerana tidak ada
sesuatu yang munasabah keluar daripada mulut mereka. Hanya
khayalan dan taghut kerana mereka telah mengangkat manusia
menjadi wali mereka selain Allah.
Mereka yang mahu boleh mengambil pengajaran daripada firman
Allah yang
bermaksud:
³Orang yang mengambil perlindung-pelindung selain Allah, Allah
mengawasi
(perbuatan) mereka dan kamu (ya Muhammad) bukanlah orang yang
diserah mengawasi mereka.² (Asy-Syuura:6)
Apabila kita mengkaji pelbagai agama yang wujud di dunia ini,
kita akan dapati bahawa pelbagai cerita fantasi diterima sebagai
kebenaran dan diamalkan sebagai kebenaran daripada Tuhan. Allah
dituduh sebagai pernah menjelma di muka bumi sebagai manusia dan
kononnya mempunyai sanak saudara.
Kononnya ada wali-wali manusia yang menerima arahan daripada
Tuhan untuk menetapkan pelbagai upacara agama dan sebagainya.
Nabi-nabi juga, sebagai contoh Nabi Isa, dijadikan sekutu dengan
Allah. Dari manakah cerita dan kepercayaan ini timbul? Inilah
soalan yang jarang sekali ditanya oleh mereka yang lemah minda
dan malas berfikir. Ramai juga yang tidak mahu meluangkan masa
untuk mengkaji dan membaca kitab suci al-Quran dengan pelbagai
alasan. Adakah kita malas membaca surat yang diutus oleh kekasih
kita? Mereka yang rela hati boleh mengambil pengajaran daripada
firman Allah yang bermaksud:
³Allah menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang mendalam
mengenai al-Quran dan Sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki.
Barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar
telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang yang
berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).²
(Al-Baqarah:269)
Kitab suci al-Quran penuh dengan hikmah yang disampaikan oleh
Allah kepada mereka yang mahu menerimanya. Al-Quran pun bukanlah
kitab yang sukar untuk difahami (sila rujuk surah al-Qamar ayat
17, 22,32, dan 40). Namun, seperti yang difirmankan oleh Allah
dalam surah al-Baqarah di atas, hanya mereka yang mahu
menggunakan minda mereka akan memperoleh peringatan atau mesej
yang terkandung di dalam al-Quran.
Kita seharusnya berwaspada terhadap mereka yang sengaja
memadamkan peranan akal di dalam menilai agama dan memahami
ajaran Allah dan Rasul-Nya. Manusia seperti ini dengan sedar
atau tidak, cuba menjatuhkan Addin Allah ke tahap agama yang
berasaskan keimanan buta tuli.
Melalui ajaran seperti ini, mereka menyulitkan sebarang usaha
untuk mengajak manusia berfikir mengenai ayat-ayat Allah yang
terkandung di dalam al-Quran..
Ajaran yang menidakkan peranan akal juga memberi sokongan kepada
mereka yang terjerumus dengan agama palsu supaya terus beriman
dengan kepalsuan itu.
Mereka menyangka keimanan tanpa penggunaan minda memadai. Allah
tidak pernah menganjurkan keimanan buta tuli seperti ini. Kita
boleh mengambil iktibar daripada firman Allah yang bermaksud:
³Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh
dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan
supaya mendapat pelajaran orang yang mempunyai fikiran.²
(Shaad:29)
Apabila membaca al-Quran, kita hendaklah membacanya dengan
memikirkan maksud ayat yang terkandung di dalamnya. Kita
memarahi anak kita jika ia membaca buku tanpa memahami apa yang
dibaca olehnya. Namun, tidak pernah pula kita menilai sikap kita
sendiri terhadap bacaan al-Quran. Kita hendaklah membacanya
dengan menggunakan akal supaya kita boleh memahami, insya Allah,
apa yang difirmankan Allah.
Kalau kita fikirkan secara jujur, bagaimana seorang itu boleh
mempercayai
(beriman) sesuatu yang ia tidak tahu? Allah sebenarnya mengajak
kita berfikir mengenai pelbagai perkara supaya kita boleh sujud
(patuh) kepada-Nya dengan sebenar-benar sujud. Oleh itu,
mengajar supaya tidak menggunakan minda bukanlah ajaran Allah
dan Rasul-Nya.
|
|
|
Hakcipta terpelihara © Tahun
1998 - 2003
MAP Training and Consultancy Sdn.
Bhd.
172 A & B Jalan Gopeng, 31350 Ipoh
Perak Darul Ridzuan, MALAYSIA
Tel: 05 - 3134622, 3136601
Fax : 05 - 3133409
e-mel : webmaster@maptraining.com.my
|
|