|
Manusia memerlukan
daya kreativiti yang tinggi untuk maju. Lebih menarik lagi,
sesiapa sahaja boleh melakukan latihan-latihan tertentu secara
konsisten bagi meningkatkan daya kreativiti mereka. Dengan
latihan-latihan ini anda akan dapati diri anda menjadi lebih
kreatif dan anda mampu menyumbang pelbagai ide yang tidak pernah
anda fikirkan selama ini. Ide-ide ini mungkin menjadi penyebab
kejayaan anda untuk lebih berjaya dalam karier, pergaulan,
bisnes dan sebagainya.
Langkah-langkah
yang anda perlu ambil dari sekarang:
-
Berani
lakukan perubahan. Jangan takut untuk mencuba
pelbagai pendekatan baru dalam melakukan sesuatu yang biasa
anda lakukan. Tidak semestinya pendekatan baru anda ini
lebih baik tetapi sekurang-kurangnya anda melatih minda anda
untuk berani lakukan perubahan. Minda anda akan lebih
fleksibel terhadap sesuatu perkara dan membuka peluang untuk
anda lihat sesuatu perkara itu dari pelbagai sudut
pandangan. Misalnya, cuba pelbagaikan jalan yang biasa anda
ambil untuk ketempat kerja; setiap kali sembahyang Jumaat,
pergi ke masjid yang berbeza; ubah dari semasa ke semasa
kedudukan perabut di rumah atau di pejabat anda; ubat
kegemaran anda menulis dalam satu-satu format, fonts, warna
dan sebagainya; apabila ke restoran cuba minta minuman yang
lain dari kebiasaan anda; fikirkan pendekatan baru atau
stategi baru dalam satu-satu permainan; dan lain-lain. Yang
penting disini ialah biasakan diri anda untuk berani lakukan
perubahan.
-
Suburkan
setiap ide baru. Ramai orang yang mempersendakan
ide-ide yang kurang matang atau kurang bernas. Tetapi
tidakkah anda sedar banyak kejayaan yang dicapai hari ini
bermula dari ide yang tidak masuk akal? Wright Brothers
dikatakan gila apabila mereka kata besi boleh terbang.
Edison dicemuh apabila dia kata malam boleh menjadi terang.
Kini terbukti ide-ide gila merekalah yang membawa kemakmuran
dalam hidup kita kini. Oleh itu, jangan diracuni setiap
ide. Mungkin apabila ide tersebut dicanai ia membawa suatu
impak yang besar dan pembaharuan dalam hidup. Kaji setiap
ide sebelum ia diketepikan. Meskipun terbukti ide tersebut
tidak membawa faedah, namun pengalaman berfikir yang telah
anda libatkan membawa makna besar dalam kejayaan selepas
itu. Ide atau cetusan ilham ada ketikanya datang secara
tiba-tiba dalam masa hanya beberapa saat. Jangan tertipu
dengan berkata yang anda akan menulisnya kemudia kerana anda
pasti lupa tentang ide itu akibat kesibukan kerja, atau
terfikir sesuatu perkara yang lain, atau anda sendiri
berkata ide itu tidak bagus. Mulai hari ini pastikan anda
sentiasa membawa buku kecil kemana-mana sahaja anda pergi.
Catatkan setiap ide, tanpa menilai, ke dalam buku kecil
itu. Berikan masa untuk anda fikirkan ide tersebut setelah
anda tenang.
-
Bina
kebolehan meniru dan mengubahsuai. Hari ini, agak
sukar untuk anda menemui ide-ide yang baru dan unik.
Kebanyakan ide baru anda datangnya daripada gabungan
pelbagai ide yang telah wujud sekeliling anda. Ada pendapat
yang mengatakan, sekiranya anda mampu mengubahsuai 10%
sahaja apa yang telah orang lain hasilkan maka cukup untuk
anda menjadi kaya raya. Pastikan pengubahsuaian ini tidak
melanggar hak cipta atau paten yang telah didaftarkan oleh
orang lain.
-
Bina
kreativiti anda apabila ada masa lapang. Gunakan
masa lapang anda untuk mengasah minda kepada aktiviti yang
merangsang daya kreativiti anda. Sekiranya senaman dan
riadah yang anda lakukan dimasa lapang banyak membantu
kecergasan anda ditempat kerja (atau sekolah) begitulah juga
dengan minda. Aktiviti minda yang anda lakukan dimasa
lapang akan membantu kecerdasan minda anda ditempat kerja
atau sekolah. Contohnya, gunakan masa lapang untuk
teka-teki, permainan chess, "puzzles", melukis, kraftangan,
fotografi dan sebagainya.
-
Amalkan
sikap ingin tahu dan suka menyelidik. Jangan sekadar
berpuashati dengan apa yang ada disekitar anda, tidak ada
satu pun yang sempurna. Setiap ciptaan manusia yang anda
lihat pasti ada cacatnya. Sikap suka menyelidik ini
membolehkan anda mendapat ide-ide baru bagi menghasilkan
sesuatu yang lebih baik dari yang sedia ada. Tanyakan diri
anda dengan soalan-soalan seperti Apa? Kenapa? Bila?
Bagaimana? Setiap kali ada orang yang mengatakan yang
sesuatu itu tidak boleh dibuat (atau tidak boleh dicapai),
tanyakan soalan ini, "Kenapa tidak?". Binakan sikap suka
bertanya. Tidakkah anda sedar anak kecil yang banyak
bertanya itu lebih bijak daripada anak kecil yang sekadar
diam. Begitulah juga dengan kita.
Dengan mengamalkan saranan di atas
dalam kehidupan harian anda, anda akan dapati banyak perkara
baru dan menarik yang bakal ditemui setiap hari. Minda anda
menjadi lebih kreatif. Anda lebih kritikal. Tidak mudah
menerima mentah-mentah sesuatu itu dan berani pula hadapi
perubahan.
Sekian. |