|
Hubungan antara anak menantu dan
mertua perlu dijaga kerana ada ketikanya kesilapan kecil atau
perkara remeh boleh menyebabkan keretakan dan diungkit-ungkit
sepanjang masa. Antara perkara paling sukar untuk dilakukan
anak menantu adalah untuk menegur dan menasihati mertua mereka.
Silap cara menegur, dikatakan tidak menghormati mertua pula.
Kalau tidak ditegur, keadaan mungkin semakin menjadi-jadi pula.
Jadi apakah cara terbaik yang boleh dilakukan oleh anak menantu
untuk menasihati mertua mereka? Di sini dikongsikan beberapa
petua untuk panduan kita bersama.
1.
Berbicara dengan lemah lembut
Komunikasi bukan sekadar mesej
yang mahu disampaikan tetapi ia turut merangkumi cara sesuatu
itu disampaikan termasuklah nada suara, mimik muka serta gaya
penyampaian kita. Malah kajian menunjukkan fisiologi kita
menyumbang kepada 55% kesan dalam berkomunikasi, nada suara
membawa 38% kesan dan mesej hanyalah 7% sahaja kesannya. Oleh
itu, apabila kita perlu menasihati mertua maka nasihatlah dengan
cara yang lemah lembut dan bersuara rendah. Suara yang lembut
ini akan lebih berkesan kepada jiwa yang mendengar lebih-lebih
lagi kita berhadapan dengan orang yang lebih tua daripada kita.
2.
Gunakan nama-nama tokoh atau ulamak.
Semasa berbicara dan menasihati
itu, gunakanlah nama-nama tokoh atau ulamak tertentu bagi
memperkukuhkan hujah kita. Nama-nama tokoh ini biarlah
dikalangan mereka yang kita tahu dihormati dan dikagumi oleh
mertua kita. Oleh itu, sukarlah untuk mertua mematahkan hujah
tersebut sebab ia bukan hujah kita sebaliknya kita hanya
menyebut semula hujah yang telah disampaikan oleh tokoh-tokoh
idola mereka. Jangan sesekali menunjukkan yang kita lebih tahu
dari mereka sebaliknya hendaklah kita sentiasa merendah diri.
Mulakan dengan kata-kata seperti “Kalau tak silap, saya pernah
dengar Ustaz tu kata…. “. Cara ini menunjukkan yang kita tetap
terbuka untuk diperbaiki kalau-kalau mertua rasa hujah yang kita
kemukakan itu salah.
3.
Mulakan dengan kemesraan dan memuji mereka.
Sebelum menasihati mertua, bukalah
hatinya untuk menerima kita dahulu. Wujudkan kemesraan terlebih
dahulu dengan membicarakan topik-topik yang mereka minati.
Nyatakan kepada mereka betapa kita bersyukur mendapat mertua
seperti mereka yang memahami kita dan menerima kita seadanya.
Secara perlahan-lahan mulakanlah agenda kita menasihati mereka.
4.
Gunakan orang ketiga yang dihormati mereka
Ada ketikanya kita tidak mampu
menasihati mertua secara langsung. Keadaan ini mungkin
disebabkan oleh kita sendiri pernah bersalah kepada mereka
hinggakan mertua tidak lagi menghormati kita; atau usia kita
terlalu muda dan dirasakan terlalu mentah untuk menasihati
mereka; atau sememangnya ego mertua kita terlalu tinggi hingga
sukar dinasihati kita. Walau apa sekalipun alasannya, kita tahu
bahawa mustahil untuk kita membuka mulut dan menasihati mereka.
Silap haribulan hubungan antara kita dan mertua menjadi semakin
tegang. Kalau beginilah keadaannya, maka bincanglah dengan
seseorang yang sememangnya dihormati oleh mertua dan mintalah
mereka menasihati mertua. Sebaiknya carilah mereka dikalangan
ahli keluarga terdekat dahulu sebelum pergi kepada orang luar.
Pastikan mertua tidak mengetahui bahawa kitalah orangnya yang
merancang agar mereka dinasihati.
5.
Berkias dan berceritalah.
Cuba jangan menasihati mertua
secara langsung lebih-lebih lagi apa yang mahu dinasihati itu
adalah isu sensitif yang mungkin menyentuh maruah dan peribadi
mereka. Sebaliknya berkiaslah, orang tua biasanya mudah
mengesan hasrat kita dan dengan cara berkias mereka dapat
memahami maksud kita. Cara ini ada ketikanya lebih berkesan.
Cubalah juga bercerita tentang kisah orang lain dan minta
pandangan mertua, mudah-mudahan mertua dapat kaitkan dengan
keadaan diri mereka pula.
Sebagai contoh:
“Abah, kawan saya Amir ada
masalah dengan mertuanya. Mertuanya ini cepat sangat campur
tangan dalam apa jua urusan rumah tangga nya. Jadi, apa patut
saya nasihatkan kawan saya tu agar mertuanya sedar akan
kesilapan mereka?”
Dengan cara begini, mertua kita
akan berikan pandangan. Dalam masa yang sama mereka akan
fikirkan juga keadaan mereka dengan kita.
6.
Pilihlah masa dan tempat yang sesuai.
Kerapkali komunikasi gagal
disebabkan pemilihan masa dan tempat yang tidak sesuai. Oleh
itu elakkan dari kesilapan lazim sebegini. Pastikan kita
memilih masa yang sesuai untuk menasihati mertua. Lihat mood
mereka, kalau mereka dalam keadaan risau dan murung maka jangan
tambah lagi beban mereka. Kalau mereka dalam bermasalah, bantu
selesaikan masalah itu dahulu. Apabila mertua melihat
kesungguhan kita membantu mereka menyelesaikan masalah yang ada
maka mudahlah untuk mereka dengan nasihat kita kelak. Sebab
mereka dapat rasakan keikhlasan kita menasihati mereka setelah
kita buktikan keikhlasan kita membantu masalahnya itu.
7.
Jagalah kewibawaan dan peribadi kita.
Mertua akan mudah mendengar cakap
kita apabila mereka menyedari kehebatan anak menantunya. Oleh
itu jagalah akhlak dan peribadi kita bukan sahaja di hadapan
mereka malah ketika kita berada dalam lingkungan masyarakat
luar. Apabila ramai orang memuji mertua tentang akhlak, budi
pekerti, kehebatan diri anak menantunya maka akan lebih terbuka
lagi fikiran mereka untuk menerima nasihat dari kita. Pendek
kata, kalau mahu menasihati mertua usahakanlah untuk menjadi
menantu kebanggaan mereka dahulu. Ambil tahu hal ehwal harian
mereka, makan minum mereka, kesihatan mereka dan segalanya.
Hulur-hulukanlah duit belanja untuk mereka. Jangan datang rumah
mertua dengan tangan kosong. Bawalah apa sahaja buah tangan
untuk mereka. Mertua pasti menerima kita dan mengalu-alukan
nasihat dari kita. |