|
Tidak ada masalah tanpa
penyelesaian. Lagi cepat anda selesaikan sesuatu masalah lagi
produktiflah diri anda. Ada ketikanya sesuatu masalah itu
terlalu mencabar fikiran dan menggugat perasaan. Ada ketikanya
pula fikiran anda buntu mencari penyelesaian. Walau apa pun
hasil yang anda perolehi dari proses percambahan minda, ia tetap
sesuatu yang berfaedah. Meskipun ide yang dilaksanakan itu
gagal, anda sekurang-kurangnya memperolehi pengalaman baru.
Anda tahu apa yang tidak sepatutnya dilakukan. Thomas Alva
Edison sendiri mencipta lampu setelah mencuba lebih 12,000
kali. Beliau tidak pernah menganggap dirinya gagal, tetapi
beliau mengatakan yang beliau mempelajari 12,000 jalan yang
tidak boleh menyalakan lampu sebelum menemui satu jalan yang
membuahkan hasil.
Anda perlu bijak membuat
keputusan agar kegagalan tidak membabitkan harga yang terlalu
tinggi. Anda juga perlu berani untuk mencuba sesuatu yang baru
dan melakukan perubahan. Pastikan keberanian anda berdasarkan
risiko yang telah diambil kira atau "calculated risk".
Sekiranya proses percambahan
minda dijalankan dengan baik, ia akan membantu anda dengan
pelbagai ide baru. Ia juga akan membantu anda membuat satu
keputusan yang bijak dalam menangani sesuatu masalah. Meskipun
percambahan minda boleh dilakukan seorang diri, namun ia akan
lebih berkesan sekiranya dapat dijalankan dalam satu kumpulan,
dan dalam persekitaran yang tenang.
Langkah Percambahan Minda
-
Kenalpasti masalah. Masalah tidak semestinya
negatif. Ada ketikanya masalah anda ialah bagaimana untuk
meningkatkan produktiviti syarikat anda. Ada ketikanya pula
masalah anda ialah bagaimana untuk mencipta sesuatu yang
baru, atau memperbaiki sesuatu yang sedia ada. Tuliskan
masalah yang mahu diatasi itu dengan jelas, difahami, dan
dipersetujui oleh semua individu.
-
Sediakan
soalan-soalan. Dapatkan sekurang-kurangnya satu
soalan dari setiap individu tetapi dorong mereka untuk
menghasilkan lebih banyak soalan-soalan. Jangan menilai
kualiti soalan tersebut dan tidak mengkritik mereka yang
mengeluarkan soalan. Setkan satu peraturan misalnya, 'SEMUA
IDE ADALAH BETUL' pada peringkat awal proses percambahan
minda ini. Lagi banyak soalan yang boleh diwujudkan maka
lebih banyak juga ide yang akan dikeluarkan kelak. Gunakan
tujuh perkataan asas untuk membina soalan iaitu Apa? Siapa?
Bila? Kenapa? Berapa? Dimana? Bagaimana?
-
Tetapkan
had masa. Proses mendapat soalan ini mungkin akan
berpanjangan, oleh itu tetapkan had masa untuk tujuan
tersebut. Misalnya 20 - 25 minit. Ada ketikanya mengambil
rehat yang pendek 10-15 minit selepas semua soalan
dilontarkan membolehkan setiap individu menjadi lebih
produktif. Sekurang-kurangnya ia memberi peluang kepada
otak kanan mencernakan setiap soalan dan mengilhamkan
sesuatu penyelesaian yang bernas.
-
Dapatkan
ide-ide. Tanyakan setiap individu ide yang mereka
ada untuk masalah yang sedang dibincangkan. Mereka boleh,
sama ada mahu atau tidak, berpandukan kepada soalan-soalan
yang telah ada bagi mencari ide. Setiap ide mestilah
diterima tanpa dinilai. Tidak wujud sama ada betul atau
salah. Tanyakan setiap individu hanya satu ide sahaja dalam
setiap pusingan. Kalau seseorang tidak punya ide, terus
tanyakan orang lain. Jangan tunggu mereka yang masih buntu,
jangan buang masa. Tinggalkan mereka yang masih tidak punya
ide untuk membolehkan mereka terus berfikir. Kembali semula
kepada mereka kemudiannya. Tidak kira walau bagaimana dungu
sekalipun ide yang diberi, ia mesti dicatatkan. Ada
ketikanya ide yang bernas keluar hanya setelah anda
mengeluarkan ide yang bukan-bukan. Manusia akan berhenti
mengeluarkan ide sekiranya mereka dikritik, dimalukan atau
apabila ide mereka tidak dihargai. Pastikan semua individu
faham bahawa melakukan kesilapan itu bukan bererti lemah.
Mengeluarkan ide yang tidak munasabah itu bukan beerti
bodoh.
-
Tetapkan
masa. Proses mencari ide ini juga perlu dihadkan
masanya. Misalnya 30 minit. Penetapan had masa bergantung
kepada sejauh mana pentingnya sesuatu perkara yang sedang
dibincangkan. Anda mungkin perlukan masa yang lebih lama
sekiranya masalah yang timbul adalah sesuatu yang kritikal
dan anda tidak mahu menanggung risiko yang tinggi.
-
Pemilihan. Anda perlu memilih setiap ide yang telah
diberikan. Bahagikan setiap ide kepada tiga kumpulan iaitu
ide yang bernas, ide yang boleh diterima tetapi bukanlah
bernas sangat dan ide yang tidak memenuhi kriteria.
Kriteria yang digunakan mungkin berdasarkan soalan seperti,
"Adakah ia kos efektif?", "Adakah ia memenuhi undang-undang
dan permit?", Adakah ia boleh disiapkan sebelum tarikh 30
Oktober 1999?". Rekodkan semua ide ini dalam ketiga-tiga
kategori tersebut.
-
Penilaian. Berikan setiap ide yang bernas itu markah
0 - 5. 5 adalah merupakan ide yang mendapat markah yang
terbaik bergantung kepada kesesuaiannya memenuhi setiap
kriteria yang diperlukan. Kumpulkan markah yang diberikan
oleh setiap individu. Tambahkan kesemua markah-markah ini.
Mana-mana ide yang mendapat markah yang tinggi maka itulah
penyelesaian terbaik kepada masalah yang sedang dihadapi.
Namun begitu, ada ketikanya ide yang bernas ini tidak mampu
memberikan hasil yang diharapkan. Oleh itu anda perlu
fleksibel dalam perancangan dan tindakan. Anda boleh cuba
ide-ide yang lain yang terdapat dala sdenarai ide bernas,
atau ide yang boleh diterima. Ingat! tiada kegagalan dalam
tindakan. Yang ada hanyalah HASIL. Sekiranya hasil yang
diperolehi tidak menepati matlamat maka lakukanlah perubahan
dalam perancangan dan tindakan anda.
Sekian.
|